SEBERANG PERAI – Seorang lelaki berusia 22 tahun yang sedang menjalani tahanan reman di lokap Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Kampung Selamat, Tasek Gelugor di sini mendakwa menjadi mangsa liwat seorang tahanan lain pada Jumaat lalu.
Sumber berkata, mangsa telah dihantar ke Hospital Seberang Jaya di sini bagi menjalani pemeriksaan selepas membuat laporan kira-kira pukul 4.07 petang.
Menurut sumber itu, pihak polis akan menjalankan koordinasi dengan AADK bagi menahan suspek selepas dia selesai menjalani tempoh reman berkaitan kes dadah.
Beliau berkata, setakat ini pihak polis telah mengarahkan supaya suspek diasingkan sel daripada tahanan lain.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor ketika dihubungi sebentar tadi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
Menurutnya, kes itu masih dalam siasatan pihak polis mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan. – K! ONLINE










