Taburan hujan di Kelantan pada tahap normal November 2018 hingga Mac 2019 - Utusan Malaysia

Taburan hujan di Kelantan pada tahap normal November 2018 hingga Mac 2019

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Kelantan diramal menerima taburan hujan pada tahap normal antara November 2018 hingga Mac 2019 dan keadaan itu dijangka tidak mengakibatkan fenomena banjir luar biasa.

Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata, laporan tinjauan cuaca oleh Jabatan Meteorologi Malaysia menjangkakan Monsun Timur Laut akan berlaku dalam tempoh berkenaan dengan hujan dijangkakan pada tahap normal.

Beliau berkata demikian untuk menjawab pertanyaan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) pada sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Tengku Zulpuri Shah berkata, antara langkah awal supaya tragedi banjir 2014 di Kelantan tidak berulang termasuk pelaksanaan Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRAB) yang meramalkan banjir tujuh hari lebih awal bagi membolehkan anggota penyelamat dan orang ramai melakukan persediaan awal.

Katanya, langkah tersebut dapat mengurangkan risiko kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa semasa musim tengkujuh.

“Fasa satu PRAB melibatkan tiga lembangan sungai iaitu Sungai Kelantan, Sungai Terengganu dan Sungai Pahang,” katanya. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN