PUTRAJAYA 29 Okt. – Tabung Harapan Malaysia (THM) yang telah ditubuhkan selama tujuh bulan sejak 30 Mei lalu akan ditutup pada hari Rabu ini dengan jumlah terkumpul setakat ini adalah sebanyak RM196 juta.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, mesyuarat Kabinet telah bersetuju untuk penutupan akaun berkenaan dan Jabatan Audit Negara akan mengaudit Penyataan Terimaan dan Bayaran Akaun Amanah THM bagi memastikan pengurusan dibuat secara teratur dan berintegriti.
Ujar beliau, pelantikan firma audit luaran oleh Kementerian Kewangan bagi tujuan mengaudit akaun THM juga dibuat selaras dengan Seksyen 7 Akta Audit 1957.
“Jumlah terkumpul THM sehingga 29 Oktober 2018 jam 3.00 petang adalah sebanyak RM196,322,746.30 yang merangkumi sumbangan yang diterima daripada mana-mana orang, organisasi atau badan serta faedah daripada pelaburan simpanan tetap yang ditadbir oleh Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM).
“Kami juga merafak sembah dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V di atas
sumbangan baginda kepada THM,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
THM ditubuhkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 30 Mei 2018 untuk menerima dan memperakaunkan wang derma dan sumbangan daripada mana-mana orang perseorangan dan syarikat bagi membantu kerajaan menangani isu hutang negara.
Menurut Guan Eng, keikhlasan kerajaan untuk memastikan sumbangan THM adalah berdasarkan keprihatinan kepada situasi hutang negara dan ia dicerminkan dengan penolakan tawaran sebuah syarikat negara asing untuk menderma RM100 juta kerana disyaki ada niat tertentu di sebalik sumbangan tersebut.
Katanya, walaupun sumbangan melalui THM tidak boleh dibandingkan dengan hutang RM1 trilion yang diwarisi kerajaan PH akibat skandal-skandal kewangan seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB) namun tabung berkenaan kekal menjadi simbol semangat patriotisme rakyat untuk melangsaikan hutang negara.
“Dengan ini, semua rakyat Malaysia yang ingin menghulurkan derma bolehlah melakukannya sebelum 31 Disember 2018. Pihak kerajaan mengucapkan ribuan
terima kasih kepada para penderma THM yang mendokong pentadbiran kewangan bersih yang bebas dari amalan rasuah,” katanya. – UTUSAN ONLINE










