ALOR SETAR 27 Okt. – Kerajaan negeri mengesyorkan Kementerian Pengangkutan menarik balik lesen operasi pengusaha feri yang gagal menyelenggara perkhidmatan masing-masing dengan baik sehingga menjejaskan keselamatan penumpang.
Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (gambar), kerajaan negeri memandang serius insiden feri dari Langkawi ke Kuala Kedah yang rosak semalam sehingga menyebabkan 25 penumpang dan sembilan anak kapal terkandas selama tujuh jam di laut semalam.
“Apabila feri itu sendiri tidak diselenggara dengan baik sehingga berlaku penumpang terkandas saya ingin ingatkan semua syarikat yang beroperasi sebagai pengusaha feri untuk serius dalam soal penyelenggaraan feri masing-masing. Kita tak mau perkara tidak diingini berlaku.

“Setakat terkandas pun tidak menepati piawaian. Kita ingin mengesyorkan kepada Kementerian Pengangkutan mana-mana syarikat menghadapi masalah yang berulang maka kita akan ambil tindakan supaya syarikat itu tidak akan dibenarkan lagi beroperasi. Baik dari Kuala Kedah ke Langkawi mahupun dari Kuala Perlis tentu mereka pun tidak akan dibenarkan jika perkara seperti itu berlaku,” katanya.
Beliau mengulas tentang insiden seramai 25 penumpang feri dan sembilan krew terkandas lebih tujuh jam selepas feri yang mereka naiki dari Langkawi ke Kuala Kedah mengalami kerosakan enjin semalam.
Tambah Mukhriz, peraturan yang ketat itu perlu dilaksanakan bukan sahaja untuk memastikan keselamatan orang ramai tetapi memastikan industri pelancongan di Langkawi tidak tercemar dengan insiden tidak diingini seperti itu.
Sementara itu, Langkawi Ferry Line Ventures Sdn. Bhd. iaitu konsortium terbesar feri di Langkawi dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa kejadian berkenaan tidak membabitkan feri di bawah selenggara syarikat gabungannya.










