JOHOR BAHRU 28 Okt. – Ketuanan Melayu bukan untuk menjadikan Melayu ini tuan dan bukan Melayu sebagai hamba sebaliknya simbol kedudukan raja-raja Melayu sebagai tonggak negara yang menjaga kepentingan agama Islam, adat istiadat Melayu dan bahasa Melayu.
Majlis Belia Negeri Johor (MBNJ) dalam satu kenyataan menegaskan, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman perlu benar-benar memahami konteks ketuanan Melayu dari segi sejarah secara keseluruhannya.
Sambil melahirkan rasa kesal dengan kenyataan Ahli Parlimen Muar itu, MBNJ berpendapat Syed Saddiq tidak perlu mengeluarkan kenyataan berbentuk popular tanpa mempedulikan perpaduan dan keharmonian kalangan masyarakat berbilang bangsa di negara ini.
“Mengikut sejarah, ketuanan Melayu merujuk kepada kedaulatan di negeri Melayu dengan kedudukan raja sebagai puncak kerajaan negeri-negeri Melayu.
“Raja-raja Melayu dan rakyatnya menerima orang luar sebagai tetamu dan memberikan mereka ruang mencari rezeki serta sama-sama membangunkan Tanah Melayu. Apabila sudah menjadi Persekutuan, hak-hak kaum lain terus juga dijaga dan dihormati serta dijamin oleh Perlembagaan,” demikian menurut kenyataan itu di sini hari ini.
Syed Saddiq ketika berucap di Forum Ekonomi Belia 2018 di Ibu pejabat Suruhanjaya Sekuriti Malaysia di Kuala Lumpur semalam menegaskan zaman ketuanan Melayu telah berakhir dan Malaysia sedang bergerak ke arah fasa baharu yang memperjuangkan kesaksamaan.
Menurut MBNJ, memperkenalkan konsep kesaksamaan merupakan satu usaha meruntuhkan asas-asas Perlembagaan Persekutuan dan cuba menjadikan negara ini sebagai sebuah negara republik.
“Kesaksamaan akan membawa satu fenomena yang amat berbahaya kepada negara kita. Saya masih berpandangan orang Melayu tidak akan merelakan raja mereka dinafikan haknya, ketuanan Melayu tidak diberi tempat, agama Islam tidak menjadi agama rasmi negara lagi.
“Bagi orang Melayu Islam itu agama mereka dan mesti menjadi agama rasmi negara. Raja dijunjung demi mempertahankan agama Islam,” katanya.










