KUALA TERENGGANU 29 Okt. – Alumni GPMS Kebangsaan hari ini menasihati Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman supaya sentiasa berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan agar tidak mencetuskan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
Presidennya, Syed Anuar Syed Mohamad berkata, sedangkan dalam Perlembagaan Persekutuan, ada perkara yang boleh diberi kesamarataan atau kesaksamaan dan ada perkara tidak boleh disentuh sama sekali khususnya berkaitan hak orang Melayu.
Katanya, Syed Saddiq perlu hadam sejarah perjuangan bangsa dengan merujuk kepada bahan bacaan dan orang terdahulu sebelum membuat kenyataan.
“Justeru itu, Alumni GPMS Kebangsaan ingin nasihatkan Syed Saddiq supaya berhati-hati mengeluarkan kenyataan apatah lagi berkaitan peruntukan Perlembagaan Persekutuan kerana kita tak mahu apa diucapkan itu menyebabkan masyarakat rasa bimbang dan marah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau menyatakan perkara itu ketika mengulas kenyataan Syed Saddiq semalam bahawa zaman ketuanan Melayu telah berakhir dan negara ini sedang bergerak ke arah fasa baharu yang memperjuangkan kesaksamaan.
Syed Anuar berpendapat, sebagai seorang menteri dan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu, Syed Saddiq sepatutnya lebih memikirkan soal mencari satu formula baharu yang lebih padu untuk membantu golongan bumiputera agar tidak terkebelakang.
“Apatah lagi beliau (Syed Saddiq) adalah seorang pemimpin sayap Pemuda Bersatu, kita memang tunggu formula beliau untuk angkat orang Melayu, bukannya kelirukan masyarakat,” katanya. – UTUSAN ONLINE










