TEMERLOH 20 Okt. – Kerajaan negeri akan memansuhkan syarat 30 peratus pembinaan rumah murah yang dikenakan kepada pemaju perumahan yang digantikan dengan bayaran dalam bentuk wang tunai kepada tabung khas.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, syarat baharu itu dilihat lebih memberi manfaat kepada kerajaan negeri dan pemaju perumahan berbanding syarat sedia ada.
“Kita tengok syarat lama ini menimbulkan masalah kepada kerajaan negeri dan pemaju malah ia juga kurang berjaya. Jadi kita memikirkan salah satu cara terbaik ‘situasi menang-menang’.
“Mereka boleh bina rumah tetapi 30 peratus rumah murah yang sepatutnya dibina hendaklah ditukar kepada bentuk wang tunai dan dimasukkan ke dalam Tabung Amanah Perumahan Rakyat,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Ramah Mesra Menteri Besar Pahang bersama warga Dewan Undangan Negeri (DUN) Semantan di Dewan Orang Ramai Kampung Paya Luas di sini.hari ini.
Yang hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semantan, Datuk Nor Azmi Mat Ludin. – UTUSAN ONLINE








