Suspek langgar lari direman lima hari lagi - Utusan Malaysia

Suspek langgar lari direman lima hari lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG 23 Okt.- Tiga suspek yang terlibat dalam kes langgar lari di hadapan bangunan Shaftbury, Cyberjaya sehingga menyebabkan kematian seorang kakitangan Telekom Malaysia Bhd. (TM) kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut seksyen tersebut, ketiga-kita suspek direman semula selama lima hari bermula hari ini melalui perintah yang dikeluarkan oleh Majistret Yusna Khadijah Md. Yusop di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Menurut sumber, ketiga-tiga suspek iaitu suspek utama warga Libya dan dua lagi rakannya yang juga warga Libya dan Yemen itu dibawa Mahkamah Sepang di sini pada pukul 9.10 pagi untuk mendapatkan perintah reman.

“Suspek utama merupakan pemandu kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu manakala dua lagi rakannya dipercayai bersubahat selain menyembunyikan suspek utama selepas kejadian berlaku pada Khamis lalu.

“Terdapat arahan daripada pihak pendakwa untuk suspek ini disambung lagi reman untuk membantu siasatan. Siasatan terbaharu ini dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Sebelum ini, suspek utama yang berumur 23 tahun telah direman selama lima hari dan berakhir hari ini mengikut Sekayen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 manakala dua lagi rakannya yang berumur 20 dan 22 tahun itu pula direman selama empat hari dan berakhir semalam.

Turut direman sebelum ini berhubung kes yang sama mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 ialah seorang wanita warga tempatan berumur 32 tahun namun, wanita terbabit dilepaskan lebih awal iaitu pada Ahad lalu.

Khamis lalu, empat individu ditahan bagi membantu siasatan kes langgar lari sehingga menyebabkan Wan Amirah Wan Alias, 31, yang merupakan Penolong Pengurus GTM Event Sales meninggal dunia.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN