SEPANG 22 Okt. – Seorang penuntut universiti swasta yang terlibat dalam kes langgar lari sehingga mengakibatkan kematian seorang pekerja Telekom Malaysia Bhd. (TM) Unifi di hadapan Shaftbury, Cyberjaya di sini minggu lepas disambung reman sehari lagi sehingga esok.
Perintah sambung reman terhadap lelaki warga Libya berumur 24 tahun itu yang dipercayai memandu kereta semasa kejadian dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Sepang, Alpha Dragam di sini hari ini.
Selain itu, tiga lagi suspek kes sama yang turut direman sejak Jumaat lalu dibebaskan hari ini dan semalam dengan jaminan polis.
Suspek lelaki warga Yemen berumur 22 tahun dibebaskan hari ini manakala dua lagi suspek iaitu seorang lelaki warga Libya berumur 20 tahun dan seorang wanita tempatan berumur 32 tahun dibebaskan semalam.
Suspek tersebut direman bagi membantu siasatan kes langgar lari sehingga menyebabkan Wan Amirah Wan Alias, 31, yang merupakan Penolong Pengurus GTM Event Sales meninggal dunia.
Mangsa meninggal dunia di Hospital Putrajaya selepas mengalami kecederaan parah akibat dilanggar dan diseret.
Selain itu, kereta dipandu suspek turut merempuh empat lagi buah kenderaan yang diletakkan di kawasan itu iaitu sebuah kereta Toyota Avanza, Perodua Myvi, Honda City dan Proton.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-UTUSAN











