KUALA LUMPUR 24 Okt. – Pendekatan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bintang Utara menjadikan Surau Khadijah binti Khuwailid sebagai pusat sehenti penerokaan ilmu pengetahuan menarik minat delegasi SMP 01 Batu dari surabaya, Indonesia untuk dijadikan rujukan dan penanda aras inovasi mempelbagaikan penggunaan rumah ibadat.
Pengetua SMK Seri Bintang Utara, Sapura Amat berkata, Laluan Ilmu yang dikategorikan mengikut tingkatan pada dinding surau paling mengujakan pelajar dari negara seberang itu kerana mereka dapat maklumat dan pengetahuan baharu.
“Surau sekolah ini, sesuai dengan fungsinya sebagai pusat sehenti turut dilengkapi pelbagai kemudahan lain seperti Simulasi Kaabah, Galeri Ilmu, Tanaman Makanan Sunnah dan Pengurusan Jenazah,” jelasnya dalam satu kenyataan menerusi aplikasi WhatsApp, di sini hari ini.
Delegasi SMP 01 Batu terdiri daripada dua guru dan 15 orang murid.
Lawatan ini bukan saja mempererat hubungan pelajar antara dua negara malah turut melibatkan kerjasama berterusan dalam pelbagai bidang menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani wakil kedua-dua pihak. – UTUSAN ONLINE











