KUALA LUMPUR 4 Okt. – Hari Warga Emas Antarabangsa disambut setiap tahun menjadi landasan ampuh bagi menghargai peranan dan sumbangan golongan tersebut khususnya dalam arus pembangunan negara.
Bertemakan Championing Life and Defying Age, sambutan di peringkat kebangsaan tahun ini dikelolakan Unit Geriatric, Pusat Perubatan Universiti Malaya (UMMC) menyajikan beberapa kelainan seperti persembahan pentas melibatkan warga emas dan pameran berkenaan rawatan serta penjagaan kesihatan golongan tersebut.
Menurut Ketua Unit Geriatric, Prof. Dr. Shahrul Bahyah Kamaruzzaman, kali ini, isteri Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali turut diumum sebagai ikon penuaan dan seterusnya merasmikan sambutan di peringkat kebangsaan.
“Acara ini amat bermakna khususnya bagi memupuk kesedaran masyarakat tentang perlunya pengetahuan serta amalan betul bagi mengurus warga emas.
“Perkara ini penting kerana golongan ini berdepan pelbagai jenis masalah kompleks dan perlu dikendali dengan baik untuk keselamatan dan kebajikan mereka,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Hari Warga Emas Antarabangsa 2018 di UMMC di sini hari ini.
Menurut Dr. Shahrul lagi, Unit Geriatic beroperasi sejak 1999, terdiri daripada pasukan perubatan pelbagai disiplin termasuk doktor, jururawat dan juga profesional kesihatan yang diyakini berkebolehan dalam memenuhi aspek rawatan dan penjagaan warga emas.
“Setiap tahun dianggarkan sejumlah 12,000 pesakit warga emas menerima rawatan di tiga jenis klinik disediakan. Keperluannya amat mendesak kerana pada tahun 2035, dianggar lebih 15 peratus rakyat Malaysia adalah warga emas,” katanya. – UTUSAN ONLINE










