Sultan Sallehuddin selamat ditabal Sultan Kedah ke-29 - Utusan Malaysia

Sultan Sallehuddin selamat ditabal Sultan Kedah ke-29

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR – Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah hari ini selamat ditabal sebagai Sultan Kedah ke-29 dalam satu Istiadat Pertabalan yang berlangsung di Balairung Seri, Istana Anak Bukit di sini.

Sebaik selesai ditabalkan, baginda kini digelar sebagai Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah.

Istiadat Pertabalan baginda itu juga berlangsung dalam suasana penuh tradisi dan adat resam Kesultanan Melayu Kedah selepas kali terakhir istiadat yang sama diadakan pada tahun 1959 iaitu ketika Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah ditabalkan sebagai Sultan Kedah ke-28.

Memuatkan artikel berkaitan…

Berangkat hadir menyaksikan istiadat penuh gilang-gemilang itu adalah Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Almarhum Tengku Ariff; Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin dan isteri, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dan isteri Tok Puan Norzieta Zakaria.

Turut hadir sama ialah Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan suami, Datuk Seri Anwar  Ibrahim.

Istiadat bermula dengan keberangkatan masuk Sultan Sallehuddin dan Sultanah Maliha ke Balairung Seri diringi oleh pegawai-pegawai yang membawa Cogan Agama, Cogan Alam, Cokmar, Pedang, Tombak dan Lembing, Juru-juru iring tentera dan polis didahului oleh Datuk Paduka Seri Maharajalela, Ketua Istiadat, Datuk Paduka Syed Unan Mashri Syed Abdullah Shahbuddin.

Kemudiannya bacaan selawat dilafazkan sebaik baginda berdua berangkat masuk ke Balairung Seri yang kemudiannya nobat turut dipalukan.

Baginda berdua selepas itu berangkat bersemayam di atas singgahsana dengan pembawa-pembawa alat kebesaran Diraja serta juru-juru iring mengambil tempat.

Datuk Paduka Ketua Istiadat kemudiannya mengadap baginda dan memohon limpah perkenan untuk memulakan istiadat dan Datuk-Datuk Bergelar membawa masuk peralatan pertabalan dan diletak di meja khas.

Peralatan pertabalan itu terdiri daripada al-Quran, Watikah Kebawah Tuanku Sultan, Surat Perisytiharan, Surat Sumpah Diraja, Keris Kerajaan, Puan Sirih, Tengkolok Emas, Kendi Emas, Benian (sebuah peti yang mengandungi barang-barang berharga yang melambangkan kekuasaan dan kekayaan Sultan Kedah) dan Bekas Perasap Kemeyan. – Bernama 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini