ALOR SETAR – Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah selamat ditabalkan sebagai Sultan Kedah ke-29 pada Istiadat Pertabalan yang berlangsung di Balairung Seri Istana Anak Bukit di sini semalam.
Sebaik ditabalkan dalam istiadat yang penuh tradisi itu, baginda kini bergelar Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.
Istiadat bermula sejurus keberangkatan masuk Sultan Sallehuddin dan Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff ke Balairung Seri pada pukul 11 pagi yang didahului oleh Ketua Istiadat, Datuk Paduka Syed Unan Mashri Syed Abdullah Shahbuddin.
Seiring dengan keberangkatan masuk Sultan dan Sultanah, bacaan selawat dilafazkan disusuli paluan nobat sebelum baginda berdua bersemayam di atas singgahsana.
Ketua Istiadat kemudian menghadap baginda untuk memohon memulakan istiadat pertabalan disusuli acara membawa masuk peralatan pertabalan seperti al-Quran, watikah Tuanku Sultan, surat perisytiharan, surat sumpah diraja dan keris kerajaan iaitu Keris Perkasa Alam.
Istiadat diikuti dengan lafaz watikah perisytiharan Sultan Kedah oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Istiadat disusuli dengan Sultan Sallehuddin melafazkan sumpah diraja dengan seluruh hadirin diminta berdiri disusuli dengan upacara mempersembahkan Keris Perkasa Alam kepada Sultan Kedah.
Sultan Sallehuddin kemudiannya mengambil keris berkenaan lalu mengucupnya.
Ketua Istiadat selepas itu mengumumkan Sultan Sallehuddin telah ditabal sebagai Sultan Kedah yang ke-29 dengan gelaran Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin disusuli laungan Daulat Tuanku sebanyak tiga kali diikuti oleh para hadirin yang hadir.
Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.











