KOTA BHARU – Kesedaran membantu golongan kurang bernasib baik sudah tentu perlu diterap sejak dari kecil lagi.
Gadis cilik, Cahaya Chinta Qaseh Mohd. Fadzly, 7, tidak ketinggalan menyumbang tenaga dalam program ‘Free Market For Asnaf 2.0’ anjuran Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Kelab Sukan Dan Kebajikan Kumpulan PKINK (KSKK PKINK) dan Masjid As Salam Pengkalan Chepa di sini hari ini.
Kelibat tubuhnya yang kecil tetapi lincah bersama seorang lagi rakannya, Tuan Nur Izz Zara Damia Tuan Hissam,7, membantu golongan dewasa di program itu menarik perhatian kerana usia mereka yang masih muda.
Seindah namanya, Cahaya Chinta Qaseh berkata, dia suka membantu orang susah malah setiap hari membelanjakan sebahagian wang saku ke sekolah untuk rakan-rakannya daripada keluarga kurang berkemampuan.
“Ada kawan saya anak yatim, saya merasa kasihan kepada mereka, saya biasa ikut ibu dan ayah keluar memberi sumbangan barang, makanan dan duit raya.
“Kadang-kadang pada waktu cuti saya ikut ibu saudara, Dr. Lyanna Khairunnisya Yahya dari Hospital Tanah Merah untuk buat kerja-kerja sukarela di banyak tempat,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Usaha Cahaya Cinta Qaseh dan Tuan Nur Izz Zara Damia sebagai sukarelawan muda turut diiktiraf apabila menerima sijil penghargaan yang disampaikan Pengurus Kanan, Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan PKINK, Ahmad Nazri Ismail.
Sementara itu, Ahmas Nazri berkata, sebanyak 300 asnaf dari seluruh daerah negeri ini menerima pek makanan asas bernilai hampir RM11,000 pada program itu.
“Penyediaan pek ini adalah daripada duit hasil sumbangan kakitangan PKINK sendiri dan orang ramai, kita juga menjalankan aktiviti pemeriksaan kesihatan percuma, gunting rambut percuma dan agihan pakaian percuma.
“Kita mendapat kerjasama pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antaranya Kemahang Care, Kelab Balkis, Akademi Kemahiran Darul Naim, Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) negeri, Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) negeri, Pusat Perubatan An-Nisa’ dan lain-lain lagi,” katanya. – K! ONLINE











