Sukarelawan cilik bantu asnaf - Utusan Malaysia

Sukarelawan cilik bantu asnaf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 20 Okt. – Kesedaran membantu golongan kurang bernasib baik perlu ada dalam diri setiap insan tanpa mengira usia.

Cahaya Chinta Qaseh Mohd. Fadzly, baru berusia 7 tahun, namun itu bukan penghalang untuk dia menyumbang tenaga dalam program ‘Free Market For Asnaf 2.0’ anjuran Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Kelab Sukan Dan Kebajikan Kumpulan PKINK (KSKK PKINK) dan Masjid As Salam Pengkalan Chepa, di sini hari ini.

Kelibat tubuhnya yang kecil tetapi lincah bersama seorang lagi rakannya, Tuan Nur Izz Zara Damia Tuan Hissam, 7, membantu golongan dewasa sepanjang program itu menarik perhatian kerana usia mereka yang masih terlalu muda.

Seindah namanya, Cahaya Chinta Qaseh yang petah memberitahu, dia suka membantu orang susah malah setiap hari tidak lokek membelanjakan sebahagian wang saku untuk rakan-rakannya yang kurang berkemampuan.

“Ada kawan saya anak yatim, saya kasihan kepada mereka dan belanja dia. Saya biasa ikut ibu dan ayah keluar memberi sumbangan barang, makanan dan duit raya kepada orang yang susah.

“Kadang-kadang pada waktu cuti saya ikut ibu saudara, Dr. Lyanna Khairunnisya Yahya yang bekerja di Hospital Tanah Merah buat kerja sukarela di banyak tempat,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini hari ini.

Kesungguhan Cahaya Cinta Qaseh dan Tuan Nur Izz Zara Damia sebagai sukarelawan muda turut diiiktiraf apabila menerima sijil penghargaan yang disampaikan Pengurus Kanan, Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan PKINK, Ahmad Nazri Ismail.

AHMAD NAZRI ISMAIL
AHMAD NAZRI ISMAIL 

Sementara itu, Ahmad Nazri berkata, sebanyak 300 asnaf dari seluruh negeri ini menerima pek makanan asas bernilai hampir RM11,000 pada program itu.

“Penyediaan pek ini adalah daripada duit hasil sumbangan kakitangan PKINK sendiri serta orang ramai. Kita juga menjalankan aktiviti pemeriksaan kesihatan percuma, gunting rambut percuma dan agihan pakaian percuma.

“Kita mendapat kerjasama pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antaranya Kemahang Care, Kelab Balkis, Akademi Kemahiran Darul Naim, Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) negeri, Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) negeri, Pusat Perubatan An-Nisa’ dan lain-lain lagi,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN