Sukan : Kelantan timba pendekatan Terengganu - Utusan Malaysia

Sukan : Kelantan timba pendekatan Terengganu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS 22 Okt. – Kelantan akan menimba pengalaman Terengganu dalam merencanakan usaha untuk menyemarakkan kegiatan sukan dan melahirkan jaguh-jaguh yang boleh dibanggakan dalam pelbagai lapangan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Kelantan, Wan Roslan Hamat berkata, Terengganu ternyata  berterusan muncul sebagai kuasa sukan yang membekalkan jaguh-jaguh untuk negara.

“Selain kita mendapatkan maklumat mengenai perjalanan Majlis Sukan Negeri (MSN) Terengganu, kita boleh belajar bagaimana hendak jadi juara. Bukan untuk melawan Terengganu tetapi kita hendak tengok bagaimana perancangan yang diatur.

“Bukan tahun ini sahaja Terengganu muncul sebagai  juara Sukan Malaysia (Sukma), malah dalam rekodnya sudah berkali-kali. Jadi mungkin sebahagian maklumat yang kita dapat itu boleh diamalkan di Kelantan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian dalam sidang akhbar selepas sesi lawatan dan taklimat bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah di MSN Terengganu di sini hari ini.

Yang hadir sama, kedua-dua Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Kelantan dan Terengganu, Zuraidin Abdullah dan  Hishamuddin Abdul Karim di samping Pengarah MSN Terengganu, Ibni Amin Busu.

Wan Roslan memberitahu, sesi lawatannya juga sebagai persiapan ekoran beliau bakal mengambil alih jawatan pengerusi badan sukan peringkat negeri yang dijangka pada awal tahun depan.

“Kita dalam proses pengambilalihan MSN sebagaimana yang diumumkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bahawa Pengerusi MSN adalah dalam kalangan anggota Exco kerajaan negeri.

“Di Kelantan, ini kali pertama baru beralih (kepada wakil kerajaan negeri). Sebelum ini dipimpin oleh orang politik. Proses peralihan telah bermula dan InsyaAllah akan berlaku awal 2019 nanti,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN