KUALA LUMPUR 26 Okt. – Turun sebagai pemain tertua pada final Piala Malaysia musim ini, penjaga gol Terengganu FC 1 (TFC 1), Suffian Rahman berharap pentas tersebut mampu ditamatkan dengan sesuatu yang manis iaitu bergelar juara.
Skuad Penyu yang kali terakhir menjulang piala berprestij itu pada 2001 namun berpeluang mengulangi pada tahun 2011 tetapi tidak kesampaian apabila tewas 1-2 kepada Negeri Sembilan di Stadium Shah Alam.
Tempoh 17 tahun itu adalah tempoh yang lama dan penjaga gol berusia 40 tahun itu ber tekad membantu TFC 1 menamatkan kemarau berkenaan menjelang aksi final bertemu Perak, Sabtu ini di Stadium Shah Alam.
“Saya harap final ini, pasukan akan mendapat keputusan yang baik dan jika diberikan peluang turun beraksi saya berjanji akan memberikan yang terbaik bagi membantu TFC 1 bergelar juara.
“Beza antara final 2008 (ketika bersama Selangor) dengan TFC 1 tidak banyak cuma bagi saya, pasukan yang dapat menyesuaikan diri dengan cepat akan mempunyai kelebihan untuk memenangi perlawanan itu,” katanya yang kali terakhir beraksi dalam final pada Piala Malaysia 2008 bersama Selangor yang menyaksikan bergelar naib juara apabila tewas 2-3 kepada Kedah.
Kecemerlangannya ketika beraksi di peringkat separuh akhir ketika menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan agregat 3-2 pasti ditagih kembali oleh skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim.
“Saya harap momentum ketika beraksi menentang JDT dapat diteruskan di pentas final dan cuba sebaik mungkin untuk tidak melakukan kesilapan mudah,” jelasnya.
Rekod pertemuan saingan Liga Super antara TFC 1 dan Perak menyaksikan masing-masing berjaya melakar satu kemenangan dalam pertemuan di laman sendiri dengan Bos Gaurus menang 3-2 di Stadium Perak manakala Sang Penyu menang 2-0 (Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah).










