PULAU PINANG 21 Okt. – Isteri kepada salah seorang mangsa tanah runtuh di Bukit Kukus dekat Paya Terubong di sini masih terbayang saat suaminya lenyap ‘ditelan’ runtuhan tanah pada petang Jumaat lalu.

Menurut Norazizah, ketika kejadian suaminya Subairi sedang menonton televisyen di rumah kongsi berhampiran sementara dia berada di dalam bilik.
Katanya, kejadian itu berlaku amat pantas dan sebaik terdengar bunyi dentuman yang kuat, dia ternampak suaminya cuba melarikan diri sebelum tertimbus.
“Saya terdengar bunyi kuat dari arah bukit sebelum tiba-tiba kawasan itu ditimbus tanah dan suami saya tenggelam di bawah timbunan tanah itu manakala saya tertanam sehingga paras pinggang.
“Saya berjaya diselamatkan oleh anggota bomba dan beberapa pekerja yang selamat sebelum dihantar ke Hospital Pulau Pinang namun nasib suami saya masih belum diketahui,” katanya yang memiliki seorang anak perempuan berusia dua tahun hasil perkongsian hidup selama enam tahun dengan Subairi.
Dia yang baharu tiga bulan datang ke Malaysia berharap jenazah suaminya dapat ditemukan segera.
Jelasnya, dia buntu untuk memaklumkan tragedi ini kepada anaknya yang kini dijaga keluarga mertua di Buton Tengah dekat Sulawesi, Indonesia
“Saya reda dengan apa yang berlaku dan berhasrat untuk pulang ke kampung selepas ini untuk menjaga anak tunggal kami,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










