Street Attack promosi MAHA 2018 - Utusan Malaysia

Street Attack promosi MAHA 2018

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 21 OKT. – Menjelang 30 hari sebelum berlangsung Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Antarabangsa (MAHA) 2018, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengadakan program Street Attack di beberapa kawasan tumpuan orang ramai di sekitar ibu negara bagi mempromosikan pameran berkenaan.

Pengarah Sekretariat MAHA 2018, Azman Mohd. Saad berkata, Street Attack merupakan platform bagi menarik perhatian dan mempelawa orang ramai menghadiri MAHA 2018 yang diadakan selama 11 hari mulai 22 November ini di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang dekat sini.

AZMAN MOHD. SAAD
AZMAN MOHD. SAAD 

“Sempena program Street Attack, beberapa persembahan tarian kebudayaan termasuk Zapin Pertanian, kuiz dan barangan berkaitan MAHA 2018 seperti topi dan lencana diedarkan secara percuma, selain memperkenalkan lagu tema MAHA 2018 iaitu Hang Pi MAHA kepada orang ramai.

“Lagu popular ini yang diadaptasi daripada lagu Hang Pi Mana nyanyian Yabang dari kumpulan Khalifah telah diubah dan disesuaikan mengikut tema MAHA tahun ini iaitu Makanan Kita Masa Depan Kita,” katanya selepas mengetuai penganjuran Street Attack di ruang legar pusat beli-belah Fahrenheit 88 di sini, hari ini.

Kira-kira 300 pengunjung menghadiri program berkenaan yang turut diadakan di pusat beli-belah Sogo dan Jakel Square di sini.

Turut membuat penampilan istimewa ialah Faizal Ismail sebagai rakan selebriti MAHA 2018.

Mengulas lanjut, Azman berkata, MAHA 2018 mendapat sambutan menggalakkan daripada pihak industri dengan kutipan tajaan mencecah RM5.5 juta daripada 35 rakan strategik dan penaja dan sebanyak 1,500 gerai yang ditawarkan juga telah habis ditempah penggiat industri pertanian dan agromakanan negara.

“Kita berharap orang ramai tidak melepaskan peluang untuk menghadiri MAHA 2018 kerana mereka akan ‘disajikan’ dengan 501 menu juadah popular dari seluruh negara selain dapat melihat teknologi pertanian terkini dan paling moden,” katanya .

Katanya, MAHA 2018 turut menonjolkan kepentingan teknologi dan inovasi pertanian (agroteknologi) dalam industri agromakanan negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN