KUALA LUMPUR 24 Okt. – Industri pengiklanan kini tertekan dan bimbang jika cukai berganda dikenakan ke atas mereka, yang ternyata satu perkara membebankan bukan sahaja kepada agensi terlibat tetapi mungkin kepada pengiklan.
Perkara ini disuarakan oleh pemain industri pengiklanan yang masih kabur tentang penetapan kerajaan terhadap perkara ini sejak cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dilaksanakan 1 September lalu.
Mengikut laporan portal marketingmagazine.com, mereka terpaksa menanggung sehingga tiga kali cukai tersebut dan sehingga kini tiada sebarang penjelasan lanjut diberikan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam).
Menurut Ketua Pegawai Kewangan IPG Mediabrands Malaysia, R. Murali, berdasarkan garis panduan yang dikeluarkan pihak Kastam, kesan SST berganda akan memberi implikasi berterusan kepada perbelanjaan perniagaan bagi pelanggan.
“Kami sudah pun berjumpa dengan beberapa pelanggan untuk melihat bagaimana cukai ini akan memberi tambahan peruntukan kepada perniagaan mereka tanpa bantuan cukai input.
“Ini bermakna pada dasarnya mereka akan membayar enam peratus untuk kos lulus pada invois agensi, di atas enam peratus untuk kos yang sama yang dikenakan sebelum ini melalui invois pemilik media. Sudah tentu ini akan menjejaskan peruntukan pelanggan dan juga industri pengiklanan,” katanya.
Persatuan Pakar Media, Yap Chee Weng berkata, Kastam sebelum ini menekankan supaya pengiklan dan agensi media melaksanakan cukai berganda pada SST dan jika ini dibuat, pengguna akhir (iaitu pengiklan) akan dikenakan SST lebih daripada sekali.
“Ini jelas bertentangan dengan prinsip sistem cukai yang baik, yang mana pihak berkuasa cukai cuba mengelak seboleh mungkin. Keadaan ini secara tidak langsung akan menjejaskan keseluruhan ekosistem pengiklanan di Malaysia,” katanya.
Apa yang lebih mengelirukan pemain industri, apabila pemilik media mengenakan caj kepada agensi (enam peratus SST) dalam invois, agensi tersebut kemudiannya akan menambah lagi enam peratus cukai dalam bil apabila diinvoiskan kepada pelanggan.
Sebagai contoh, invois asal kepada agensi ialah RM106, dan agensi akan mengeluarkan bil kepada pelanggan sebanyak RM112.36 selepas menambah enam peratus lagi cukai berkenaan. Malah, ia akan terus bertambah jika ada bil seterusnya.
Dalam pertemuan dengan Kastam minggu lalu, termasuk ketua pegawai kewangan, mereka membangkitkan perkara ini kerana kemungkinan jumlah itu akan meningkat dua atau tiga kali ganda, yang jelas bertentangan dengan garis panduan yang dikeluarkan sebelum itu.
Lebih mengecewakan, pendapatan bagi perniagaan akan terjejas dalam lingkaran cukai pengkompaunan yang akan mengalirkan pendapatan mereka secara berperingkat. Tambah memeritkan, mereka tidak boleh membuat tuntutan bayaran balik, tidak seperti cukai barang dan perkhidmatan (GST).
Keadaan ini akan memburukkan lagi persaingan yang tidak sihat dalam persekitaran perniagaan di Malaysia, apatah lagi Google dan Facebook mendominasi 75 peratus daripada hasil pengiklanan digital.
Malah, syarikat-syarikat ini tidak perlu membayar GST (ketika dilaksanakan dulu) seperti yang perlu dibuat oleh syarikat lain di negara ini apabila membeli ruang pengiklanan.
Pengarah Komersial Kewangan Dentsu Aegis Network, Daniel Tan berkata, cukai SST memberi kesan kepada pelbagai kos perniagaan tambahan pula pada ketika sentimen pengguna masih kekal lemah.
Katanya, peningkatan kos perniagaan akan menyebabkan harga barangan dan perkhidmatan juga meningkat.
“Langkah tergesa-gesa kerajaan baharu untuk melaksanakan SST bagi menggantikan GST sewajarnya perlu dilihat semula memandangkan ia bertentangan dengan semangat SST untuk mengurangkan beban cukai ke atas pengguna dan perniagaan,” katanya.










