KOTA BHARU 22 Okt. – Seramai enam murid Sekolah Rendah (SR) Islam Kiblah memenangi dua kategori dalam Pertandingan Tilawah, Hafazan dan Azan peringkat Parlimen Kota Bharu di Kediaman Rasmi Menteri Besar, JKR 10 di sini, baru-baru ini.
Tiga murid berkenaan, Ahmad Farish Hakimi Azman 11, muncul johan tilawah al-Quran kategori lelaki manakala Muhammad Zarif Muhammad Zulkifli, 12, dan Muhammad Luqmanul Hakim Azrar, 11, terpilih pertama dan kedua hafazan (lelaki).
Dalam pada itu bagi kategori perempuan, tiga murid sekolah tersebut iaitu Wudda Salihin, 11, dan Muna’iffah Mohd. Kamal 12, diumumkan sebagai johan dan naib johan hafazan manakala Ajda Ariffin, 12, mendapat tempat ketiga tilawah al-Quran.
Tiga johan pertandingan itu akan mewakili Parlimen Kota Bharu ke pertandingan peringkat negeri yang akan diadakan tidak lama lagi.
Hampir 100 murid lelaki dan perempuan dari sekolah-sekolah rendah sekitar Parlimen Kota Bharu menyertai pertandingan anjuran Halaqat Kota Bharu dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan.
Sementara itu, Pegawai Khas Ahli Lembaga Pengelola SR Islam Kiblah, Suhaina Abdullah berkata, kejayaan yang dicapai oleh murid sekolah dalam pertandingan itu amat membanggakan.
Katanya, murid yang kebanyakannya berusia bawah 12 tahun itu mampu menunjukkan kemahiran membaca al-Quran dan juga hafazan.
“Kejayaan itu bukan sesuatu yang mudah dicapai bagaimanapun modul pembelajaran seimbang yang diterapkan oleh pihak sekolah membantu memperoleh keputusan yang amat baik ini,” katanya.











