SPRM tidak berkompromi pihak terlibat rasuah dalam pencerobohan Cameron Highlands - Utusan Malaysia

SPRM tidak berkompromi pihak terlibat rasuah dalam pencerobohan Cameron Highlands

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 22 Okt.- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam pencerobohan tanah di Cameron Highlands menerusi kegiatan rasuah atau salah guna kuasa hingga menyebabkan isu itu berulang lagi.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki menegaskan, pihaknya memandang serius berhubung dakwaan bahawa kononnya kegiatan rasuah semakin berleluasa hingga mengakibatkan pencerobohan tanah dan penerokaan kebun haram di tanah tinggi itu terus berulang seperti dilaporkan oleh Mingguan Malaysia semalam.

Ujarnya, dalam hal berkaitan, SPRM berharap pihak berkuasa bertanggungjawab menguatkuasakan undang-undang agar segera mengambil tindakan sepertimana keputusan Pasukan Petugas Khas Op Gading yang dipengerusikan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kejadian penerokaan kebun haram yang berulang tidak sepatutnya timbul dan SPRM memandang serius sekiranya perkara itu ada kaitan dengan isu rasuah atau salah guna kuasa.

“Tindakan undang-undang akan diambil di bawah bidang kuasa suruhanjaya ini bagi menangani isu rasuah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Azam menambah, berdasarkan statistik, sejak 2015 sehingga kini, SPRM telah membuat tangkapan terhadap 23 individu dan mendapat izin mendakwa terhadap 11 individu atas pelbagai kesalahan mengikut Akta SPRM 2009 berkaitan isu tersebut.

Katanya, SPRM meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berasas mengenai kegiatan rasuah membabitkan kes-kes pencerobohan tanah dan penerokaan kebun haram di Cameron Highlands untuk melaporkan terus kepada pejabat SPRM terdekatan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini