KUALA LUMPUR 22 Okt.- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak akan berkompromi dan mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat kegiatan rasuah dan salah guna kuasa di tanah tinggi, Cameron Highlands, Pahang.
Timbalan Ketua Pesuruhajaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, pihaknya memandang serius sekiranya benar dakwaan mengenai pencerobohan tanah dan penerokaan kebun haram di kawasan tersebut sehingga mengakibatkan kejadian tanah runtuh berulang.
Ujar beliau, pihak berkuasa yang bertanggungjawab menguatkuasakan undang-undang di tanah tinggi itu perlu segera mengambil tindakan sepertimana keputusan Pasukan Petugas Khas Op Gading yang dipengerusikan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.
“Ini kerana berdasarkan statistik sebanyak 23 individu telah ditahan SPRM sejak 2015 sehingga kini selain mendapat izin mendakwa sebanyak 11 individu atas pelbagai kesalahan mengikut Akta SPRM 2009 berkaitan isu tersebut.
“Sehubungan itu, SPRM meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berasas mengenai kegiatan rasuah membabitkan kes-kes pencerobohan tanah dan penerokaan kebun haram di Cameron Highlands untuk melaporkan terus kepada pejabat SPRM terdekatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.-UTUSAN ONLINE










