PUTRAJAYA 30 Okt.- Parti Progresif Penduduk Malaysia (MyPPP) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan Tan Sri M. Kayveas bahawa sebanyak RM36 juta diberikan kepada parti itu tahun ini.
Jurucakap MyPPP, Datuk Dr. Loga Bala Mohan berkata, siasatan segera perlu dilakukan kerana Kayveas juga mendakwa wang yang diterima MyPPP itu mempunyai kaitan dengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Beliau berkata, pihaknya juga mendesak agar Kayveas mendedahkan nama enam bekas ahli yang dikatakan menerima wang berkenaan dan jumlah sebenar yang diterima mereka kerana semua ahli parti berhak tahu mengenai perkara itu.
“Saya bersama kepimpinan tertinggi parti hari ini membuat laporan kepada SPRM berhubung kenyataan Kayveas yang dilaporkan sebuah portal mengenai dakwaan MyPPP menerima dana sebanyak RM36 juta yang berkait dengan 1MDB.
“Siasatan secara menyeluruh perlu dilakukan bagi membolehkan perkara sebenar dibongkarkan dan kebetulan pula SPRM juga sedang menyiasat kes 1MDB ketika ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Ketika ini MyPPP terpecah kepada dua kepimpinan iaitu di bawah Presiden, Datuk Seri Maglin D’Cruz yang dipilih selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) pada Mei lalu selain Kayveas yang mengaku bahawa beliau masih presiden yang sah.-UTUSAN ONLINE










