SPRM hantar wakil pantau pemilihan PKR di Perlis esok? - Utusan Malaysia

SPRM hantar wakil pantau pemilihan PKR di Perlis esok?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU 20 Okt. – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijangka meletakkan anggotanya bagi memantau pemilihan PKR di semua tiga cabang di Perlis yang dijadual berlangsung esok.

BOON CHU EBAU
BOON CHU EBAU 

Perkara itu dimaklumkan oleh Naib Ketua PKR Cabang Arau, Boon Chu Ebau yang telah mengunjungi pejabat SPRM semalam bagi meminta bantuan pihak berkuasa itu menghantar wakil dalam pemilihan nanti.

Katanya, pendekatan tersebut diambil bagi mengelak budaya politik wang dan rasuah berlaku dalam pemilihan parti, termasuk di Perlis sendiri yang dikhuatiri turut terlibat dengan masalah berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Petang semalam saya telah mengunjungi pejabat SPRM termasuk Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis bagi meminta bantuan mereka memantau pemilihan parti di Kangar, Padang Besar dan Arau. Berkemungkinan pihak berkuasa itu akan menghantar anggota mereka nanti.

“Kita tidak mahu budaya rasuah dan politik wang mencemari pemilihan parti yang sedang berlangsung ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Baru-baru ini, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa, ahli PKR ditawarkan wang tunai RM100 bagi setiap undi untuk calon tertentu dalam pemilihan parti itu yang sedang berlangsung.

Calon Timbalan Presiden PKR itu dilaporkan berkata, perbuatan tersebut didakwa berlaku dalam pemilihan yang telah diadakan di enam negeri sejak 20 September lalu.

Sebelum ini, Calon Naib Ketua Cabang Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kangar,

Abdul Asymawi Syazwi Abdul Halim pernah mendedahkan mengenai tindakan segelintir calon parti itu di negeri ini yang cuba menyogok ahli dengan memberi barangan keperluan.

Abdul Asymawi Syazwi mendakwa, kegiatan tidak bertanggungjawab itu berlaku di kawasan Arau dan Padang Besar dengan terdapat dalam kalangan calon yang berkempen telah pergi dari rumah ke rumah bagi memberikan sogokan tersebut yang merupakan beras serta barangan keperluan harian.

Dalam perkembangan berkaitan, Boon Chu berkata, beliau yakin Rafizi akan mendapat sokongan penuh daripada kebanyakan ahli PKR di negeri ini dalam pemilihan esok.

Katanya, sokongan itu termasuk daripada kira-kira 600 ahli PKR yang terdiri daripada masyarakat Siam di tiga cabang di negeri ini yang telah mengisytiharkan menyokong Rafizi bagi mengisi jawatan nombor dua parti itu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini