KUALA LUMPUR 16 Okt. – Prosedur operasi standard (SOP) bagi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam menjalankan operasi penyelamatan air melibatkan parit monsun masih belum jelas.
Oleh itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, sedikit masa harus diberikan untuk mengkaji struktur parit monsun agar menjadi maklumat tambahan selain lebih berhati-hati semasa menjalankan operasi menyelamat.
“Misi-misi menyelamat terutama kes seperti berlaku tempoh hari yang melibatkan parit monsun dan bukannya parit lombong. SOP mengenai parit monsun belum ada yang jelas dan tepat.
“Sebab itu, saya kata kalau insiden kecemasan untuk mencari mangsa beri masa sedikit untuk kaji struktur parit monsun itu agar mereka mendapat gambaran bentuk atau apa ada di bawah dan sebagainya agar menjadi maklumat tambahan serta lebih berhati-hati dalam operasi,” katanya dalam sesi pertanyaan menteri (MQT) dalam Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Tan Sri Annuar Musa (BN-Ketereh) yang meminta Zuraida memberi penjelasan berhubung komennya sebelum ini yang menyatakan anggota bomba perlu mendapatkan struktur pelan terlebih dahulu sebelum operasi penyelamatan. – UTUSAN ONLINE










