Solatlah kerana ia amat dibenci iblis - Utusan Malaysia

Solatlah kerana ia amat dibenci iblis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BISIKAN iblis atau syaitan kepada manusia adalah antara hakikat hidup yang sukar dinafikan. Ia berlaku tanpa mengira tempat dan masa. Tetapi ia hanya terhenti apabila semua makhluk Allah SWT dikumpulkan pada padang Mahsyar kelak.

Tujuan bisikan itu hanya satu iaitu untuk manusia melanggar perintah Allah SWT dan rasul-Nya, sekali gus menjadi rakan sekutu mereka dalam neraka pada hari akhirat nanti.

Namun bagi seorang pendakwah Islam warga Amerika Syarikat (AS), Sheikh Kamal El Mekki, ia bukan suatu masalah yang sukar untuk diatasi jika kita tahu apakah perkara yang paling dibenci oleh dua makhluk dilaknat oleh Allah SWT itu.

Dengan kebencian itu, bekas imam Universiti George Mason, Virginia, AS, menambah, mereka sanggup mengenepikan perkara jahat lain walaupun ia ada fitrah kejadian manusia.

“Jadi percayalah, jika kita mengetahuinya, ia bukan lagi satu masalah yang besar,” katanya ketika menyampaikan ceramahnya yang dipetik melalui program kendalian OnePath Network, baru-baru ini,

Ikutilah temu bual beliau di bawah:

Apa maksud tuan, ‘bukan satu masalah besar’?

Sheikh Kamal – Ada satu kisah yang ingin saya kongsikan. Ada seorang lelaki bertanya kepada seorang sheikh tentang masalahnya yang gemar melihat kaum wanita sehingga mewujudkan rasa syahwat.

Sheikh itu kata, ia satu yang mudah untuk diselesaikan tetapi syaratnya, lelaki tersebut kena istiqamah dengan apa yang disuruh.

Apa suruhan sheikh itu?

Setiap kali wujud pandangan itu, lelaki berkenaan perlu tunaikan solat dua rakaat tetapi lelaki itu kata, ia sukar untuk melakukannya kerana bekerja sebagai penyambut tetamu. Tetapi sheikh itu tetap menyuruh dia melakukannya.

Jadi, lelaki itu melakukannya. Hari pertama, dia solat lima kali atau 10 rakaat. Hari kedua, lapan rakaat. Hari ketiga, enam rakaat. Hari keempat, empat rakaat dan seterusnya.

Apa hasilnya?

Hasilnya, lelaki itu memberitahu sheikh, sebelum dia sempat melihat seseorang wanita, ada satu bisikan halus yang melarang dia melihat wanita berkenaan.

Ini kerana, jika lelaki itu melihat wanita tersebut, dia kena solat dua rakaat dan sehingga kini bisikan itu masih terngiang-ngiang di telinganya. Rentetan daripada itu, sheikh berkenaan menulis tentang penyelesaian solat dua rakaat itu dalam buku terbarunya.

Adakah tulisan sheikh itu dapat sambutan?

Kaedah penyelesaian sheikh itu mendapat perhatian ramai dan antaranya, seorang lelaki yang kerap sangat tidak solat fardu subuh tetapi, selepas membaca buku itu, dia tidak lagi tertinggal solat tersebut.

Cerita lelaki itu, satu hari ketika bersendirian, dia melaungkan satu ikrar. Katanya, “Demi Allah jika gagal solat fardu subuh pagi esok, aku akan solat 100 rakaat.”

Selepas ikrar itu, dia tidur dan hasilnya, dia tersedar pada waktu azan subuh dilaungkan. Namun, itu bukan kerana bunyi jam atau lain-lain bunyi tetapi, ada satu jeritan halus yang kuat, “Bangun cepat, sudah masuk waktu subuh.”

Apa sebenarnya pengajaran daripada kisah tersebut?

Pada iblis dan syaitan, perkara yang paling utama adalah dia cukup benci jika manusia solat dua rakaat berbanding hasutan jahat yang lain

Bagi mereka, solat sebenarnya mendekatkan manusia kepada Allah SWT dan paling dibencinya, manusia berpeluang meminta ampun atas dosa-dosanya yang lalu. Maka, misi mereka membawa bersama manusia ke neraka tidak akan berjaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN