MINAT dalam bidang nyanyian sejak awal remaja lagi, Fairuzziha Hazwany Mohamad Yusoff atau Soffwany, 29, ketika itu begitu mengagumi populariti Datuk Siti Nurhaliza sehingga memasang impian untuk turut menjadi seorang penyanyi suatu hari kelak.
Namun, dia yang baru mengenal dunia terpaksa memendam hasrat tersebut dan menjalani kehidupan biasa seperti remaja lain.
Ketika hadir ke studio Utusan Malaysia baru-baru ini, dia kelihatan anggun dengan tutur bicara yang begitu lembut dan menyenangkan halwa telinga.
Melihat dia berhias cantik sambil mengenakan blaus dan pandan seluar rona oren, pasti ada yang tidak menyangka bahawa gadis kelahiran Taiping, Perak ini adalah seorang anggota pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Apatah lagi dengan kulit wajah yang putih mulus dan ketinggian bak seorang model, agak tidak serasi dengan gambaran tugas seorang anggota pasukan bersenjata.
Mengenakan pakaian seragam biru gelap itu hampir 11 tahun lalu, Soffwany sememangnya beberapa kali gambarnya tular dalam media sosial sehingga diberi jolokan oleh warganet sebagai ‘polis cantik’. Gara-gara itu, dia kini mempunyai 178,000 pengikut dalam Instagram, jumlah yang agak luar biasa bagi seseorang yang bukan bergelar selebriti.
Berkongsi cerita penyertaannya dalam pasukan keselamatan itu, Soffwany tersenyum mengingatkan kembali bagaimana dia tergerak hati menghadiri temu duga terbuka polis.
‘‘Selepas tamat SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) sekitar 2007, saya bekerja sambilan di sebuah hotel. Setiap pagi saya akan baca surat khabar dan suatu hari ada iklan bagi pengambilan anggota. Tanpa berfikir panjang, saya menghantar borang tanpa meletakkan harapan tinggi.
“Tidak sangka pula dipanggil untuk latihan. Ahli keluarga saya sendiri pun tidak yakin saya mampu menjadi anggota polis memandangkan saya bukan seorang yang lasak.
“Namun, sewaktu menjalani latihan di Pusat Latihan Polis Air Hitam (Pulapah), Negeri Sembilan, saya mampu bertahan mungkin kerana semangat remaja masih kuat dan sokongan daripada keluarga serta rakan-rakan,” katanya.
Menurut, Soffwany, tamat latihan dia ditempatkan di unit Pasukan Gerakan Am (PGA).
“Di situ, dia mula sedar tugas polis bukan semata-mata membanteras jenayah, bahkan banyak lagi cabang lain melalui unit-unit yang ada seperti Unit Pancaragam.
“Kebetulan waktu itu Unit Pancaragam mengadakan temu duga terbuka bagi mencari penyanyi. Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, impian menjadi penyanyi yang seakan-akan sudah berkubur, tiba-tiba ‘hidup’ semula.
“Alhamdulillah, permohonan menyertai Kombo PDRM berjaya, sekali gus ditukar ke unit Pancaragam,” katanya yang hampir sedekad bersama unit tersebut.
Bersama unit tersebut, Soffwany berusaha menggapai impian zaman remajanya untuk menjadi penyanyi, dengan menjalani latihan dan membuat persembahan pada majlis-majlis penting PDRM. Dia juga pernah dijemput menyanyikan lagu patriotik bersama Kombo PDRM di TV3, yang kemudian menjadi bualan kerana kemerduan suara dan kecantikannya.
Suaranya turut menarik minat syarikat rakaman, Suria Records bagi menghasilkan single terbaharu, Nafas Cinta, sehingga memperoleh hampir 125,000 tontonan dalam Youtube.
Biarpun, kini bergelar penyanyi, Soffwany menegaskan dia tetap mengutamakan tugas hakiki sebagai anggota polis.
Menyedari jadual harian semakin padat, dia perlu bijak membahagikan masa agar dapat memberikan komitmen terhadap kerjaya dan minat yang digalas.
“Sejak tiga bulan lepas saya telah ditukarkan ke Unit Udara. Di sini, waktu kerja saya lebih teratur, iaitu Isnin hingga Jumaat dari pukul 8 pagi hingga 5 petang. Masa yang selebihnya saya luangkan untuk menyanyi dan belajar,” katanya yang kini dalam semester ketiga bagi pengajian Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan, di sebuah institusi pengajian swasta di ibu negara.
Soffwany, yang masih bujang, mengakui terpaksa mengorbankan waktu rehat dan waktu bersama keluarga, demi memenuhi ketiga-tiga komitmen yang digalas.“Bagi saya, ketiga-tiga tugas itu sama penting dan ada cabaran tersendiri. Biarpun berhadapan dengan cabaran dalam menguruskan masa, saya percaya setiap usaha mendatangkan hasil yang cukup berbaloi kelak,” katanya.










