KUALA TERENGGANU 30 Okt. -Kumpulan Warisan Siber dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Berang, Hulu Terengganu menjuarai pertandingan Sketsa Rukun Negara 2018 peringkat negeri yang diadakan di Kompleks Desa Taqwa, Kuala Telemong di sini hari ini.
Diwakili oleh lima pelajar iaitu Lokman Hakim Hashim, Muhammad Akif Irfan, Puteri Diana Syuhada, Nik Nuralissa Qistina dan Mohamad Imran Jamaludin, mereka yang membawakan sketsa Benderaku meraih hadiah wang tunai RM2,000, sijil dan plak.
Naib juara disandang oleh kumpulan dari SMK Sultan Omar, Dungun yang menerima hadiah wang tunai RM1,500 manakala kumpulan dari SMK Kuala Besut di tempat ketiga (RM1,000).
Dua kumpulan lain yang turut beraksi di peringkat negeri itu ialah dari SMK Tengku Ibrahim, Setiu dan SMK Panji Alam, Kuala Terengganu.
Hadiah kepada para pemenang disampaikan oleh Pengarah Penerangan negeri, Swady Guliling.
Yang turut hadir, Ketua Sektor Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pendidikan negeri, Ngah Bidin dan Penolong Pengarah Jabatan Penerangan negeri (Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat), Samsudin Daud.
Pertandingan anjuran Jabatan Penerangan negeri terbuka kepada sekolah menengah yang terdapat Kelab Malaysiaku, dan sketsa yang dilakonkan perlu berdasarkan lima prinsip Rukun Negara.
Program bertujuan memberi pemahaman konsep Rukun Negara bagi memupuk semangat jati diri dan cintakan negara selain dapat menghayati lima prinsip Rukun Negara dalam kehidupan seharian. – UTUSAN ONLINE










