KUALA LUMPUR 29 Okt. – Hasrat pemain muda negara, Ng Eain Yow melangkah lebih jauh pada Kejohanan Skuasy Klasik Qatar tidak kesampaian, apabila kemaraannya disekat jaguh No. 10 dunia, Karim Abdel Gawad dari Mesir dalam pusingan kedua, Kejohanan Skuasy Klasik Qatar di Kompleks Skuasy & Tenis Antarabangsa Khalifa, Doha, hari ini.
Eain Yow yang menghuni ranking ke-42 dunia itu, bagaimanapun, masih mampu memaksa pilihan keenam kejohanan, Karim bermain selama lebih sejam sebelum tunduk dengan kekalahan lima set 11-9, 13-11, 3-11, 4-11, 4-11.
Kelmarin, pemain berusia 20 tahun tersebut mengejutkan wakil tuan rumah yang berada di ranking ke-24 dunia, Abdulla Al Tamimi 11-3, 8-11, 11-9, 11-5 dalam masa 40 minit di pusingan pertama.
Sekalipun, impiannya berkecai untuk mencipta satu lagi kejutan, usaha keras Eain Yow wajar diberi pujian kerana sekurang-kurangnya dia mempamerkan keberanian memberikan tentangan hebat kepada pemain handalan Mesir itu.
Seorang lagi wakil Malaysia pada kejohanan tersebut, Nafiizwan Adnan terkandas seawal pusingan pertama, kelmarin, apabila dia tewas di tangan pemain Scotland, Greg Lobban dalam pertarungan sengit lima set 12-10, 2-11, 9-11, 11-9, 4-11 yang berlanjutan selama 1 jam 22 minit. – UTUSAN ONLINE










