Skuad hoki remaja hanya selangkah untuk cipta sejarah - Utusan Malaysia

Skuad hoki remaja hanya selangkah untuk cipta sejarah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 14 Okt. – Hanya tinggal selangkah bagi Malaysia untuk mencipta satu lagi sejarah meraih pingat emas Sukan Olimpik Remaja 2018 apabila skuad hoki negara berjaya ke final dalam acara lelaki lima sebelah pada temasya yang berlangsung di Buenos Aires, Argentina.

Anak buah Wallace Tan mempamerkan permainan berkualiti tinggi apabila menundukkan Zambia 7-4 pada perlawanan separuh akhir di Youth Olympic Park, awal pagi ini waktu Malaysia.

Pada perlawanan itu, Malaysia membuka jaringan seawal minit pertama menerusi gol padang Mohamad Akhimullah Anuar Esook sebelum Noor Firdaus Rosdi melebarkan jurang dengan satu lagi gol padang dua minit kemudian.

Memuatkan artikel berkaitan…

Zambia merapatkan jurang menerusi Andrew Moyo pada minit ke-6 namun Malaysia kembali meninggalkan jarak apabila Noor Firdaus menjaringkan gol kedua peribadinya dalam perlawanan itu pada minit sama, demikian menurut Persekutuan Hoki Malaysia menerusi laman Facebooknya.

Skuad remaja negara kemudian menambah empat lagi gol padang menerusi Mohamad Akhimullah Anuar (m-8 dan -20), Muhammad Muhibuddin Moharam (m-11) dan Syarman Mat Tee (m-12).

Zambia bagaimanapun berjaya membolos gawang Malaysia sebanyak tiga kali lagi menerusi Phillimon Bwali (m-14 dan -17) dan Moyo (m-18).

Malaysia akan bertemu India pada final awal pagi esok waktu Malaysia.

India mara ke pentas akhir selepas menewaskan tuan rumah Argentina 3-1 pada satu lagi perlawanan separuh akhir.

Untuk rekod, Malaysia tidak layak pada dua edisi terdahulu iaitu 2010 di Singapura dan 2014 di China.- BERNAMA



Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini