KUALA TERENGGANU – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dalam usaha membangunkan Sistem Ramalan Lautan (OFS) yang pertama seumpamanya di negara ini sebagai rujukan penting bagi aktiviti-aktiviti kelautan terutamanya di Laut China Selatan.
Timbalan Pengarah (Penyelidikan dan Perkhidmatan) Institut Oseanografi dan Sekitaran (Inos) UMT, Prof. Madya Dr. Mohd. Fadzil Mohd. Akhir berkata, pembinaan OFS merupakan usahasama di antara Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, UMT serta Institut Pertama Oseanografi (FIO), China.
“Sistem yang menggunakan data lautan sebagai kriteria utama ini bakal membantu dalam meramal suhu, arus serta gelombang bagi tempoh tiga hari lebih awal sekali gus memudahkan akses orang awam terutamanya pengamal industri seperti perikanan atau petroleum dan gas.
“Kita jangka sistem yang dibangunkan sebagai mesra pengguna ini boleh diguna pakai oleh orang awam di antara bulan Jun atau Julai tahun hadapan melalui laman web dan aplikasi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Persidangan Sains Marin dan Lautan Tropika di Hotel Permai di sini hari ini yang dirasmikan oleh Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Nor Aieni Mokhtar.
Turut hadir, Pengarah Inos, Dr. Aidy@Mohd. Syawal M. Muslim dan wakil FIO China, Dr. Changshui Xia.
Tambah Mohd. Fadzil, sistem yang berpangkalan di UMT ini melibatkan dana berjumlah kira-kira RM3 juta.
“Buat masa ini, kita sedang menaik taraf fasiliti pengkomputeran dan menambah baik pangkalan data sebelum melancarkan aplikasi serta laman web bagi kegunaan awam pada tahun hadapan.
“OFS merupakan satu sistem ramalan yang baik kerana kita boleh melakukan persediaan awal bagi menghadapi atau mengelak sesuatu bencana selain menjadi indikasi berguna buat para nelayan,” ujarnya. – K! ONLINE









