KOTA KINABALU – Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim akan membangunkan sistem khas yang akan berfungsi memberi maklumat awal berkenaan kejadian tsunami menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), kata Menterinya, Yeo Bee Yin.
Beliau berkata, sistem amaran itu antara lain akan menyalurkan maklumat berkenaan kejadian Tsunami kepada orang awam menerusi SMS mengikut lokasi risiko.
Bee Yin berkata, pewujudan sistem amaran tsunami menerusi SMS itu merupakan pelan tindakan yang akan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia bagi memudahkan semua pihak termasuk pelancong asing mengetahui maklumat berkenaan bencana alam tersebut.
“Saya juga mencadangkan Jabatan Meteorologi untuk mengkaji bagaimana sistem amaran tsunami menerusi SMS itu dapat diperluaskan. Buat masa ini, kita memerlukan sistem amaran SMS bagi tsunami dahulu dan selepas itu sistem amaran bagi bencana lain.
“Sistem amaran SMS ini akan menghantar terus amaran tsunami ke setiap (telefon) orang awam berdasarkan lokasi berisiko dilanda bencana,” katanya dalam sidang media di sini hari ini. – Bernama











