BARU-baru ini, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid mengingatkan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu berpada-pada berpolitik sebaliknya memberi tumpuan kepada agenda pembangunan menuju negara maju dengan meneruskan kesinambungan prinsip tadbir urus yang baik kerajaan terdahulu demi masa depan negara dan rakyat.
Kata beliau, kerajaan PH sewajarnya tidak membawa negara menuju arah mundur ke belakang walaupun tidak mampu mengotakan janji agar kebajikan rakyat dan pembangunan negara tidak diabaikan.
Sudah tentulah kenyataan ini tidak disenangi oleh pemimpin-pemimpin PH terutamanya mereka yang berada dalam Kabinet tetapi itulah faktanya. Ketika ini, sebahagian rakyat semakin gelisah dengan hala tuju negara. Mereka tidak tahu ke mana negara ini mahu dibawa, apa yang mereka tahu barisan Kabinet sedia ada lebih banyak melakukan tindakan bermotifkan politik waima berkaitan tugas rasmi selagi pun.
Kesudahannya, ia meletakkan negara berada dalam kategori ketidaktentuan politik. Mungkin pihak kerajaan berbangga apabila ada pemimpin luar memuji peralihan kuasa di negara ini selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berjalan secara aman dan teratur.
Tetapi mereka tidak boleh syok sendiri kerana kelancaran itu juga berpunca daripada sikap Barisan Nasional (BN) dan penyokong mereka yang menerima keputusan rakyat dengan hati terbuka. Tidak ada demonstrasi dilakukan atau kenyataan menuduh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak adil seperti mana selepas PRU-13.
Mereka memahami keputusan sudah dibuat maka terserahlah kepada kerajaan baharu mengemudi negara, tetapi malangnya mereka melihat biarpun hampir enam bulan pilihan raya berlaku, jiwa pembangkang masih belum terhakis daripada benak hati pemimpin-pemimpin kerajaan.
Sebaliknya apa yang mereka sangsikan sebahagian besar menteri masih mengamalkan sikap pembangkang apabila berhadapan dengan sesuatu isu dan media turut terkena tempiasnya. Tindakan seumpama itu tidak menguntungkan negara dan rakyat. Sepatutnya sekarang bukanlah lagi masa untuk berpolitik. Pelabur-pelabur asing mahu melihat kestabilan politik dan kewibawaan barisan Kabinet supaya Malaysia menjadi sasaran pelaburan mereka.
Bagaimanapun ini tidak berlaku. Masih ada menteri yang berperangai kebudak-budakan, ada yang asyik hendak mendedahkan keburukan kerajaan terdahulu sehingga terlupa apa portfolio beliau dan ada yang memberi jawapan entah apa-apa ketika berada di dalam Dewan Rakyat. Itu belum lagi termasuk kerenah pegawai-pegawai kanan mereka yang bagaikan kaduk naik junjung, kera dapat bunga.
Ketika negara-negara jiran terus berlumba-lumba menarik pelaburan asing dan mencatatkan potensi kemakmuran pertumbuhan ekonomi, di Malaysia, kita masih berpolitik tidak sudah-sudah dan terus bercakap soal kerajaan terdahulu sehingga kadang kala bak kata orang, ‘nak muntah hijau mendengarnya’. Itu belum lagi mengambil kira bagaimana pemilihan parti politik tertentu dicemari dengan pelbagai adegan yang sebelum ini dikaitkan dengan BN dan UMNO.
Kalau mahu dikaji, ia boleh dianggap ‘sindrom dapat kuasa’. Apabila sudah ada kuasa yang diberikan oleh rakyat ia bukannya digunakan untuk membela nasib rakyat tetapi menjadi platform untuk pembalasan politik dan memaparkan keangkuhan.
Akhirnya yang menjadi mangsa ialah rakyat dan mereka tidak mendapat apa-apa, sebaliknya disogokkan dengan janji yang dimungkiri dan diperingatkan jangan lagi mengharapkan wang percuma daripada kerajaan, pada masa sama, mereka tidak lihat apa yang kerajaan lakukan bagi meningkatkan taraf hidup mereka supaya lebih baik daripada kerajaan terdahulu.
Kesemua kekalutan ini berlaku kerana tujuan utama PH mahu menang pilihan raya umum lalu hanya disebabkan mahukan kuasa. Tidak lebih daripada itu. Sebab itulah mereka tidak berasa malu atau bertanggungjawab apabila gagal menunaikan apa yang sudah termaktub dalam manifesto mereka.
Atas sebab itulah, sekali lagi kepada kepemimpinan kerajaan khususnya mereka yang mengangkat sumpah sebagai anggota Kabinet, berhentilah berpolitik, cepatlah matang untuk memahami kalian bukan lagi pembangkang tetapi kerajaan. Di tangan kalianlah terletak masa depan negara.
Jangan terus menghampakan rakyat dengan politiking yang tidak berkesudahan. Rakyat sudah muak, rakyat sudah penat dan rakyat semakin resah dengan situasi negara kini.
Tidak salah untuk mendabik dada kononnya rakyat semakin selesa dan menerima kerajaan PH, biarpun ia hakikatnya hanyalah kenyataan bagi ‘menyedapkan hati’, tidak mengapalah, ahli politik memang pandai bermain dengan kata-kata. Namun sekarang adalah masa bekerja bukan masa menjadi tidak keruan apabila kuasa sudah ada di tangan.
Sampai bila mahu menggunakan modal menyalahkan kerajaan terdahulu bagi menutupi ketidakpandaian kerajaan sedia ada untuk menguruskan negara?
Mungkin pada awal-awalnya, modal tersebut boleh digunakan tetapi lama kelamaan ia akan menjadi ‘hidangan basi’ yang boleh menyebabkan ‘keracunan makanan’. Begitulah juga dengan tindakan asyik menuding jari kepada kerajaan terdahulu, mungkin sebulan dua ia boleh diterima tetapi kalau sepanjang masa dihabiskan dengan sikap itu maka akhirnya rakyat akan sedar rupa-rupanya, mereka bagaikan menang sorak kampung tergadai, yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran.










