JAKARTA 11 Okt. – Taktik sindiket jual bayi di Surabaya, bandar kedua terbesar Indonesia menggunakan laman Instagram terbongkar selepas kegiatan itu dikesan polis dengan tertangkapnya empat individu, bulan lalu.
Straits Times melaporkan, sindiket itu menggunakan akaun media sosial berkenaan yang mendakwa mereka sebagai agensi mempromosikan kebajikan keluarga dan akaun itu yang masih aktif mempunyai 722 pengikut.
Pemilik akaun itu yang hanya dikenali sebagai AP mendakwa dia seorang lelaki berusia 29 tahun dan membantu orang ramai menyelesaikan masalah keluarga.
Lelaki itu bersama seorang wanita berusia 22 tahun yang cuba menjual bayi lelakinya merupakan antara empat individu yang diberkas oleh polis, awal September lalu.
Seorang broker dan seorang bakal pembeli juga ditahan dan kesemua suspek kini berdepan hukuman penjara maksimum 15 tahun.
Antara pos pada akaun Instagram itu adalah gambar skrin perbualan WhatsApp termasuk sekeping gambar bahagian perut ke bawah seorang wanita mengandung dari Banjarmasin, Kalimantan Selatan.
Wanita itu, yang identitinya tidak didedahkan mahukan seseorang mengambil anaknya untuk dijadikan anak angkat dan tiada butiran lain didedahkan.
Mereka yang menulis pada akaun Instagram itu akan menerima mesej WhatsApp dari satu nombor Indonesia sebagai maklum balas.
Gambar skrin daripada perbualan itu kemudian dimuat naik pada akaun Instagram itu bagi menggalakkan orang lain yang berminat mendapatkan perkhidmatan AP.
Menurut polis di Surabaya, mereka memintas satu transaksi yang dibuat pada 3 September lalu melibatkan seorang wanita berusia 22 tahun yang dikenali sebagai LA cuba menjual bayinya.
Seorang pembeli bersedia membayar sebanyak 15 juta rupiah (RM4,094) kepada wanita itu dan 5 juta rupiah lagi (RM1,364) kepada broker dan 2.5 juta rupiah (RM682) kepada AP.
Semasa disoal siasat polis, AP mengaku hanya melakukan empat transaksi bernilai kira-kira 20 juta rupiah (RM5,458) dan dihubungi lebih 100 orang yang berminat, kebanyakannya wanita muda yang tidak berkahwin.










