Simpanan rakyat Malaysia tidak cukup - Utusan Malaysia

Simpanan rakyat Malaysia tidak cukup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 24 Okt. – Sebanyak 59 peratus rak­yat Malaysia tidak mempunyai simpanan yang mencukupi untuk bertahan selama tiga bulan tanpa pendapatan.

Ketua Pegawai Eksekutif RinggitPlus, Liew Ooi Hann berkata, berdasarkan Kaji Selidik Literasi Kewangan Malaysia yang dijalankan RinggitPlus, lebih separuh daripada 2,996 res­ponden didapati tidak mampu menyimpan lebih RM500 sebulan.

Katanya, 24 peratus daripada responden pula tidak mempu­nyai simpanan langsung dan hanya bergantung kepada gaji yang diterima setiap bulan.

“Hanya 32 peratus daripada responden menyatakan mereka mempunyai simpanan tetapi jumlahnya kurang daripada RM500 setiap bulan,” katanya di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Jirnexu Sdn. Bhd., Yuen Tuck Siew.

Kaji selidik itu turut menjalankan kajian terhadap tabiat perbelanjaan rakyat Malaysia dan mendapati 33 peratus res­ponden membelanjakan lebih atau sama seperti gaji bulanan mereka.

“Dari segi perlindungan insurans pula, 54 peratus res­ponden memiliki insurans hayat dan 62 peratus memiliki insurans perubatan,” katanya.

Beliau berkata, dengan hasil kaji selidik berkenaan, RinggitPlus kini menekankan strategi bagi mempertingkatkan pendidikan kewangan kepada rak­yat Malaysia.

“Kami melihat ada keperluan untuk mengumpul dan berkongsi maklumat berkenaan pendidikan kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Saya percaya berbekalkan ilmu asas pengurusan kewa­ngan rakyat Malaysia mampu menguruskan kewangan mereka dengan lebih bijak,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN