PULAU PINANG 29 Okt. – Jawatankuasa khas bagi menyiasat punca sebenar kejadian tanah runtuh di Bukit Kukus, Relau, di sini 19 Oktober lalu, dijangka mengambil masa lebih sebulan untuk menyiapkan laporan berkaitan tragedi tersebut.
Timbalan Ketua Menteri I yang juga pengerusi jawatankuasa tersebut, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, ketika ini, individu yang terlibat dalam jawatankuasa berkenaan sedang dikumpulkan untuk tindakan susulan.
“Setakat ini, cuma saya dan Zairil (Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir negeri, Zairil Khir Johari) akan mewakili Exco Kerajaan negeri dan kita juga akan dibantu oleh seorang jurutera dari pejabat SUK (Setiausaha Kerajaan Negeri).
“Pada masa sama, kita juga boleh memanggil sesiapa sahaja yang dirasakan perlu bagi membantu mendapatkan fakta berkaitan tragedi tanah runtuh itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Jelas Ahmad Zakiyuddin, pihaknya akan berusaha menyiasat perkara itu secepat mungkin ketika siasatan yang sama turut dijalankan beberapa agensi lain secara berasingan termasuk polis dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).
Dalam pada itu, beliau memberitahu, pihaknya juga tidak akan melayan permintaan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk turut serta dalam jawatankuasa berkenaan.
Ahmad Zakiyuddin berkata, hal ini demikian kerana mereka hanya bertindak sebagai penasihat atau pemberi maklumat berkaitan tragedi itu bagi pihak kerajaan negeri.
“Jangan salah anggap kerana ini (jawatankuasa khas) bukanlah satu suruhanjaya. Kita hanya akan siasat mengikut keperluan kita dan setakat itu sahaja peranan kita,” katanya ketika ditanya mengenai desakan beberapa NGO untuk turut serta dalam jawatankuasa tersebut. – UTUSAN ONLINE










