Siapa nak jaga mereka nanti? - Utusan Malaysia

Siapa nak jaga mereka nanti?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Setiap hari kebimbangan warga emas ini terhadap masa depan dua anak perempuannya semakin memuncak. Siapakah yang akan menjaga anak-anak itu nanti sekiranya dia dahulu meninggalkan mereka?

Mungkin ada antara anak-anak lain yang sanggup menjaga, namun mungkin tidak sebaik yang dia lakukan.

Baginya, kasih sayang seorang ibu pada anak-anak tiada sempadan dan sedaya upaya akan menjaga sebaik mungkin biarpun kudrat diri tidak lagi gagah seperti dahulu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Che Dah Saidin, 72, yang dilahirkan di Perak dan menetap di Klang, Selangor, ini telah kehilangan suami tercinta, Kosnan Lasima yang bertugas sebagai pengawal keselematan, akibat komplikasi usus kira-kira lima tahun lalu.

Sejak itu kehidupannya hanya tertumpu di rumah, menjaga dua anak perempuannya, Siti Aishah Kosnan, 32, dan Siti Azlina Kosnan, 28, yang dilahirkan dengan sindrom Down.

Selain kedua-dua mereka, Che Dah turut mempunyai tiga cahaya mata lelaki yang telah berkeluarga dan mempunyai tanggungjawab masing-masing.

“Siti Aishah dan Siti Azlina ialah anak mak cik yang keempat dan kelima. Kedua-dua mereka tidak boleh bertutur dan sewaktu kecil, Siti Aishah bergelut dengan masalah kesihatan jantung.

“Alhamdulillah, sekarang sudah agak sihat. Siti Azlina pula hanya mampu terbaring dan sesekali bangun apabila diarahkan berbuat demikian. Dia banyak menghabiskan masa dengan berbaring kerana sering sakit kepala,” katanya.

Setakat ini, kedua-duanya boleh menguruskan diri masing-masing, tetapi perlu dipantau oleh Che Dah, termasuk makan, pakai dan kesihatan.

Menurut Che Dah, Siti Aishah agak aktif dan banyak membantu dalam urusan kerja-kerja rumah seperti menyapu dan membasuh pinggan.

Dia juga berpeluang ke sekolah khas sehingga berumur 18 tahun, sebaliknya Siti Azlina hanya bersekolah setakat tingkatan satu kerana masalah untuk menguruskannya.

Che Dah memberitahu, Siti Aishah dan Siti Azlina menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 setiap seorang, serta bantuan bulanan daripada kerajaan Negeri Selangor bagi agihan Peduli Sihat sebanyak RM200 untuk rawatan kesihatan.

Dia berpindah ke pangsapuri kos rendah Bukit Raja 2, Klang sebagai lokasi perpindahan kerana kawasan rumah setinggan mereka dirobohkan untuk pembinaan projek baharu.

“Ketika ayah mereka ini masih ada, dia yang banyak membantu dalam menguruskan kedua-dua anak perempuan mak cik ini. Sekarang mak cik hanya berdoa agar nasib Siti Aishah dan Siti Azlina akan terbela sekiranya mak cik tiada,” katanya yang memberitahu kedua-dua anaknya itu mempunyai kad orang kurang upaya (OKU).

Apabila bercakap mengenai punca pendapatan, Che Dah menjelaskan, dia tidak pernah bekerja kerana sebelum ini bergantung sepenuhnya kepada arwah suami.

Kecuali elaun bulanan oleh JKM untuk kedua-dua anak OKU tersebut, tiada bantuan lain daripada mana-mana agensi kerajaan.

Begitu pun, dia amat terharu ada sahaja orang perseorangan yang bersedia membayar sewa beli rumah berkenaan secara bulanan.

Che Dah hanya membayar bil air dan api dan sesekali rawatan kesihatan dirinya dan anak-anak.

“Anak-anak lain ada juga membantu. Dengan duit mereka, mak cik berdikit-dikit membeli lauk-pauk mentah untuk dimasak setiap hari.

“Mak cik terfikir sekiranya layak mendapatkan bantuan bulanan daripada (JKM), sedikit sebanyak dapat juga menampung perbelanjaan,” jelasnya yang memberitahu barangan di dalam rumah itu juga kebanyakannya pemberian daripada orang ramai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini