KISAH kehilangan dan kematian Jamal Khashoggi, seorang wartawan kelahiran Arab Saudi mendapat liputan meluas dalam berita dunia sejak beberapa minggu lalu.
Beliau dilaporkan hilang sejak 2 Oktober lalu selepas memasuki Konsulat Arab Saudi di Istanbul, Turki dan Jamal sebelum ini memilih untuk hidup dalam buangan di Virginia, Amerika Syarikat (AS) selepas meninggalkan Arab Saudi pada tahun lalu.
Pihak berkuasa Turki menegaskan bahawa Jamal dibunuh dalam konsulat tersebut dan Riyadh pula mengakui bahawa Jamal meninggal dunia akibat bergaduh dalam bangunan itu biarpun sebelum ini negara berkenaan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan terbabit.
Berikut adalah beberapa perkara mengenai Jamal:
Kenapa Jamal paling menonjol?
Jamal dilahirkan pada 13 Oktober 1958 di Arab Saudi dan kariernya sebagai wartawan sering mengkritik barisan kepemimpinan kerajaan Riyadh ketika ini dan beliau berkongsi pandangannya menerusi ruang kolumnis dalam akhbar Washington Post sejak setahun lalu.
Kariernya juga menyaksikan Jamal pernah membuat laporan mengenai kumpulan militan al-Qaeda di Afghanistan termasuk kebangkitan pemimpinnya, Osama Laden pada tahun 1980-an.
Beliau juga pernah menyandang jawatan sebagai Timbalan Ketua Pengarang di akhbar Arab News pada 2001 dan insiden serangan pengganas pada 11 September menjadikan Jamal sebagai ‘sumber paling berharga’ kepada media asing untuk mengetahui serta memahami situasi sebenar dalam serangan tersebut.
Jamal sebelum ini pernah dipecat sebanyak dua kali sebagai Ketua Pengarang akhbar Saudi Al-Watan kerana berita yang dipaparkan sering mengkritik golongan pelampau dan pelaksanaan nilai agama di Arab Saudi.
Kenapa beliau amat dikenali di luar Arab Saudi?
Ketika berkhidmat dengan Saudi Al-Watan, Jamal juga merupakan penasihat kepada Duta Arab Saudi ke London iaitu Putera Turki Al-Faisal.
Pada 2005, apabila Putera Turki dilantik pula sebagai Duta Arab Saudi ke AS, Jamal menjadi pembantu medianya dan kebanyakan masa Jamal bertugas sebagai kolumnis dan pengulas sebelum meninggalkan negara itu dan pindah ke AS pada Jun 2017.
Kenapa Jamal pilih hidup dalam buangan?
Jamal memberitahu rakan dan wartawan bahawa ruang kebebasan bersuara di bawah pimpinan Putera Mahkota Arab Saudi iaitu Putera Mohammed Salman semakin mengecil dan beliau bimbang akan keselamatannya.
Dalam satu temu bual bersama Al-Jazeera TV pada Mac lalu, Jamal memaklumkan bahawa dia akan meninggalkan Riyadh kerana enggan ditahan pihak berkuasa negara itu.
Beliau juga menceritakan bagaimana dia dipecat sebanyak dua kali kerana mendesak reformasi dilakukan di Arab Saudi.
Apa yang ditulis oleh Jamal?
Jamal tidak menganggap dirinya sebagai seorang pengkhia- nat negara, sebaliknya sebagai seorang penulis yang melahirkan kebimbangan mengenai hala tuju Arab Saudi di bawah pimpinan Putera Mohammed yang berusia 33 tahun.
Penulisan pertamanya dalam Washington Post pada 18 September 2017 menceritakan tentang keputusannya meninggalkan Arab Saudi.
“Saya sudah tinggalkan rumah, keluarga, kerja saya. Untuk melakukan perkara sebaliknya akan mengkhianati pihak yang telah dipenjarakan.
“Saya ingin anda tahu bahawa Arab Saudi tidak seperti yang anda lihat ketika ini. Rakyat negara itu berhak untuk dapat yang terbaik,” tulisnya.
Pada Februari lalu, Jamal menulis bahawa Putera Mohammed perlu belajar daripada kerabat diraja Britain bagaimana untuk mendapatkan kedudukan, kepercayaan, penghormatan dan kejayaan dengan bersikap rendah diri.
“Jika Putera Mohammed boleh menerima segala kritikan rakyat, saya yakin beliau boleh tingkatkan kuasa serta pentadbirannya,” tulis Jamal.
Selain itu, beliau juga menyamakan Putera Mohammed seperti Presiden Rusia, Vladimir Putin.
Menerusi kolum terakhir sebelum beliau dilaporkan hilang, Jamal menggesa Putera Mohammed menamatkan perang terhadap Yemen yang dimulakan sejak lebih tiga tahun lalu.
Kenapa Jamal memasuki Konsulat Arab Saudi?
Jamal pergi ke Konsulat Arab Saudi di Istanbul untuk mengambil dokumen peribadi sebelum berkahwin dengan dengan tunangnya, Hatice Cengiz yang merupakan pelajar doktor falsafah warga Turki dan berusia 36 tahun.
Beliau juga dilaporkan membeli sebuah rumah di Istanbul sebagai persiapan selepas berkahwin dengan Hatice.
Pandangan Arab Saudi mengenai Jamal?
Pihak berkuasa Arab Saudi sehingga kini tidak membuat sebarang kenyataan kritikal mengenai Jamal sejak kehilangannya.
Putera Mohammed dalam temu bual bersama Bloomberg sebelum ini hanya memaklumkan bahawa Jamal merupakan warga Arab Saudi dan ingin tahu apa yang terjadi kepada wartawan tersebut.
Putera Khalid Salman yng kini merupakan Duta Arab Saudi ke AS pula menyifatkan Jamal sebagai seorang rakan dan memuji beliau atas sumbangannya terhadap negara.











