Siap siaga hadapi banjir di Kedah - Utusan Malaysia

Siap siaga hadapi banjir di Kedah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 11 Okt. – Semua agensi kerajaan yang terlibat menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di negeri ini diletakkan dalam keadaaan siap siaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya banjir menjadi lebih buruk.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, persiapan rapi perlu dilakukan dalam menyediakan pusat pemindahan, makanan dan bara­ngan keperluan harian lain yang secukupnya kepada mangsa banjir di samping memastikan keselamatan mereka terjamin.

“Pusat informasi yang berope­rasi 24 jam telah dibuka bagi memudahkan proses pene­rimaan laporan berkaitan banjir tetapi kadang-kadang ada juga maklumat mangsa banjir yang tidak sampai kepada pihak agensi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Oleh itu, penduduk yang terjejas banjir boleh laporkan kepada ahli majlis daerah atau penghulu kampung untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang akhbar selepas menyam­paikan sumbangan kepada mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Gajah di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Mukhriz memberitahu, kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan berbentuk sumbangan wang tunai kepada mangsa banjir di seluruh negeri ini dalam masa terdekat bagi meringankan beban mereka.

Sementara itu, beliau berkata, hujan lebat di negeri ini sejak beberapa hari lalu telah menyebabkan empangan air bawah pengurusan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) penuh dan air tersebut terpaksa dilepaskan untuk keselamatan empangan terbabit.

“Kita dapati pelepasan air dari empangan tersebut memberi kesan kepada penduduk terutamanya mereka yang tinggal di kawasan yang rendah,” katanya.

Dalam pada itu, seorang mangsa banjir, Mahani Mahadi, 31, dari Kampung Alor Senjaya yang masih dalam tempoh berpantang memberitahu dia bersama suami dan lima anak berumur 16 hari hingga sembilan tahun dipindahkan PPS SK Titi Gajah kira-kira pukul 9 malam tadi.

“Air naik hinggan ke paras betis dengan cepat jadi kami ambil keputusan ke PPS kerana risaukan keselamatan anak-anak, tambahan saya tengah berpantang anak kelima yang baru berusia 16 hari.

“Keadaan di PPS kurang selesa sebab itu saya harap dapat banjir beransur pulih agar saya dapat pulang secepat mungkin,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini