LONDON 26 Okt. – Xherdan Shaqiri menegaskan dia tidak berdepan masalah untuk beraksi menentang Red Star Belgrade dalam saingan Liga Juara-Juara di Serbia.
Bintang Switzerland itu didenda semasa aksi Piala Dunia selepas meraikan jaringan ketika menentang Serbia dengan membuat simbol burung helang yang hampir sama dengan simbol yang berada di bendera Albania.
Shaqiri berada dalam pasukan Liverpool ketika menentang Red Star, Rabu lalu dan membantu pasukannya menang 4-0 di Anfield.
Dalam aksi timbal balas selepas ini, Shaqiri yang berusia 27 tahun itu mengakui dia sudah bersedia.
“Saya mengalami masalah ini di Piala Dunia, jadi saya boleh mendepani masalah ini.
“Saya ada terbaca beberapa artikel mengenai seorang pemain bercakap sesuatu. Tetapi saya tidak kisah mengenainya.
“Saya ke sana untuk bermain bola, bukan mengenai politik kerana segalanya hanya melibatkan bola sepak. Saya tidak bimbang dan akan ke sana untuk bermain bola,” katanya.
Liverpool kini berada di kedudukan teratas Kumpulan C dengan enam mata dan akan beraksi di Belgrade pada 6 November ini.-AGENSI










