KUALA LUMPUR 23 Okt. – Naib Presiden PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md. Akin mempersoal motif tawaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang mahu membantu mencari ahli perniagaan diburu, Low Taek Jho atau Jho Low.
Menurut Shamsul Iskandar, beliau terkejut dengan kenyataan bekas Menteri Pertahanan itu dan berpandangan tawaran itu sepatutnya dikemukakan lebih awal.
Bagaimanapun beliau percaya, kerajaan akan mengkaji rasional disebalik motif tawaran tersebut menerusi langkah berkaitan.
“Kalau bertujuan membantu negara mencari dan menjejak Jho Low saya fikir tiada masalah dibenarkan, cuma perlu ada koordinasi dengan kementerian berkaitan. Kita juga ingin mengetahui kebenaran kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan saya percaya sebarang usaha bawa balik Jho Low ke muka pengadilan perlu dialu-alukan.
“Kita perlu kaji tawaran ini apakah sifatnya kerana semua sedia maklum, beberapa pemimpin UMNO sedang dibawa ke mahkamah atas tuduhan rasuah dan penyelewengan, jadi kita tidak mahu wujudnya persepsi bahawa tawaran ini bertujuan untuk melepaskan diri daripada isu bersangkutan dengan kerajaan lalu,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, di sini hari ini.
Semalam, Hishammuddin berkata, beliau secara peribadi akan membantu mencari Jho Low bagi menyelesaikan isu berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Jelas Ahli Parlimen Sembrong itu, beliau akan menggunakan hubungannya sebelum ini dengan pemimpin-pemimpin China untuk mencari Jho Low sekali gus membawanya pulang bagi berdepan muka pengadilan. – UTUSAN ONLINE










