KUALA LUMPUR 27 Okt. – Penyampai radio Suria FM, Fizi Ali teruja apabila doktor memberitahu bayi dalam kandungan isterinya, pelakon Shakilla Khoriri adalah perempuan.
Menurut isterinya yang sedang hamil lima bulan, dia berasa pelik pada awalnya kerana suaminya itu terlalu menginginkan anak perempuan bagi menambah seri keluarga kecil mereka.
“Selepas kami buat ujian imbasan kehamilan (ultrasound), 80 peratus doktor mengandaikan bayi dalam kandungan saya ialah perempuan berdasarkan keputusan imbasan tersebut.
“Suami saya yang paling gembira sekali sebab dia kata tak sabar nak pakaikan anak dengan ‘skirt’ comel.
“Pada mulanya saya agak pelik jugalah sebab biasanya bagi yang baharu nak timang anak pertama, menginginkan anak lelaki sebagai pelengkap.
“Saya pula tak kisah lelaki atau perempuan. Yang penting bayi lahir sihat dan cukup sifat,” ulasnya.
Shakila dan Fizi mendirikan rumah tangga pada 18 Februari lalu selepas empat tahun bercinta. – UTUSAN ONLINE










