Shahrul enggan dibuai kejayaan - Utusan Malaysia

Shahrul enggan dibuai kejayaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMAIN pertahanan Perak, Shahrul Saad tidak mahu terus dibuai de­ngan kejayaan membantu negerinya menjulang trofi Piala Malaysia buat kali kelapan ke­rana mahu memberi tumpuan terhadap tugasan bersama skuad Harimau Malaya pada kempen Piala AFF Suzuki bulan depan.

Sebagai rekod, Shahrul bersama empat lagi rakan sepasukan The Bos Gaurus, Amirul Azhan Aznan, Nazirul Naim Che Hashim, Kenny Pallraj dan penjaga gol, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy terpilih dalam senarai awal 26 pemain untuk persediaan mengharungi kejohanan bola sepak terbesar Asia Tenggara itu.

Kesemua pemain Perak melaporkan diri kepada Ketua Jurulatih skuad negara, Tan Cheng Hoe semalam selepas tamat kempen Liga Malaysia (Liga M) dengan kemenangan pada final Piala Malaysia yang cukup dramatik setelah menewaskan Terengganu Football Club (TFC I) menerusi penentuan sepakan penalti Sabtu lalu.

Kata Shahrul, kejayaan membantu Pe­rak menamatkan kemarau 18 tahun tanpa trofi berprestij itu merupakan pengalaman yang cukup manis terutamanya de­ngan kebangkitan luar biasa yang ditunjukkan oleh rakan-rakan sepasukannya pada aksi di Stadium Shah Alam itu.

“Saya sangat gembira dapat membawa kembali Piala Malaysia ke bumi Perak kerana negeri ini sudah lama tidak merasakan kejayaan menjulang piala paling bersejarah bola sepak negara.

“Saya cukup berpuas hati dengan komitmen yang diberikan oleh rakan-rakan sepasukan khususnya apabila kami ketinggalan sebanyak dua kali dalam saingan yang cukup mendebarkan,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Bagaimanapun, penolong ketua pasukan Perak itu tidak mahu meraikan kejayaan secara keterlaluan kerana fokus­nya adalah untuk menempatkan diri dalam senarai 23 pemain bagi menghadapi Piala AFF Suzuki yang membuka tirai pada 8 November depan.

“Saya tidak mahu kejayaan ini membuatkan saya leka kerana saya telah terpilih untuk menjalani sesi latihan bersama skuad negara.

“Apa yang pasti, saya akan bekerja keras pada sesi latihan untuk menarik perhatian jurulatih (Cheng Hoe) kerana saingan kali ini cukup kompetitif,” kata pemain berusia 25 tahun itu.

Skuad negara yang kini menduduki ranking ke-169 dunia akan bertemu Maldives pada aksi persahabatan Sabtu ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN