KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim tidak menolak kemungkinan dakwaan bahawa dakwaan beliau mencabul seorang remaja perempuan di Perlis baru-baru ini bermotifkan politik dan berniat mensabotajnya.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, selaku seorang ahli politik, beliau mengaku sering diserang oleh banyak pihak yang mempunyai kepentingan.
“Sudah tentu perkara ini dibuat oleh pihak-pihak tertentu tetapi saya juga akan meneruskan apa yang sepatutnya saya buat selepas ini.
“Ahli politik tentulah akan digasak habis-habisan tetapi maruah anak perempuan ini harus dijaga. Mereka tiada niat apa-apa dan ini cuma salah faham,” katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen di sini hari ini.
Kosmo! semalam melaporkan, Shahidan hadir ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mencabul seorang remaja perempuan di Perlis.
Proses merakamkan keterangan beliau berlangsung selama hampir enam jam dan hanya selesai pada sebelah petang semalam.
Sementara itu, Shahidan juga akan mengadakan perbincangan bersama peguamnya sekiranya perlu mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang terus menyebarkan dakwaan.
“Saya akan berbincang dengan peguam berkenaan untuk mengambil tindakan undang-undang tapi sudah pasti saya tidak akan berdiam diri,” ujarnya. – K! ONLINE










