KUALA LUMPUR 30 Okt. – ‘Tiada siapa pun yang mampu menggantikanmu sayang.”
Itu luahan Mhd. Husni Fadhil yang merupakan tunang kepada salah seorang pramugari pesawat Lion Air JT610, Mery Yulyanda yang terhempas di perairan Karawang, Jawa Barat semalam menerusi satu status yang dimuat naik di akaun Instagramnya.
Katanya, mereka bakal bernikah April depan tetapi takdir tidak memihak kepada ikatan yang terjalin selepas tunangnya itu maut dalam kejadian malang yang membabitkan pesawat jenis Boeing 737 Max 8 itu.

“Setiap sujud aku selalu mendoakan kamu sayang, memohon dan berharap kepada Allah untuk satukan kita. Sampai kamu menjadi pembakar semangat hidupku dan untuk cita-cita kita bersama di masa depan.
“Kamu ingin jadi isteriku dan aku ingin kamu menjadi ibu buat anak kita nanti tetapi Allah berkehendakan yang lain. Setiap langkah dan tujuan aku selalu memohon kepada Allah agar dapat bersamamu kembali.

“Kamu harus kembali April 2019, kita akan disatukan, sayang kamu kembali ya sayang. Tiada seorang pun yang mampu menggantikanmu sayang. Bagaimana keadaanmu akan aku tetap terima seadanya,” katanya di sini hari ini.
Pesawat Lion Air yang membawa 188 penumpang dan kru dipercayai tenggelam selepas terhempas di perairan Karawang, Jawa Barat, semalam sejurus berlepas dari Jakarta menuju ke Sumatera.
Pesawat tambang murah itu dilaporkan berlepas kira-kira pukul 6.20 pagi dan dijangka mendarat di Bangka-Belitung kira-kira pukul 7.20 pagi.

Sementara itu, tular di media sosial mengenai perbualan antara Mhd. Husni dan Mery menerusi aplikasi WhatsApp.
Menerusi perkongsian tersebut, Mery memberitahu tunangnya dia sudah berada dalam kereta pada pukul 3.01 pagi dan kemudiannya memaklumkan telah selesai taklimat pada pukul 4.49 pagi.
Itu merupakan mesej terakhir yang dihantar Mery kerana selepas itu beberapa pertanyaan Mhd. Husni tidak berbalas. – UTUSAN ONLINE









