KUALA LUMPUR 19 Okt. – Keputusan kerajaan mengehadkan tempoh perkhidmatan jawatan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri kepada hanya dua penggal disifatkan sebagai langkah terbaik bagi menyerlahkan sistem demokrasi sebenar.
Sistem dua penggal seperti diamalkan di negara maju termasuk Amerika Syarikat (AS) itu juga mampu mewujudkan struktur kepemimpinan lebih adil di samping menggarap bakat dan memberi peluang kepada pemimpin muda.

Penganalisis politik firma penyelidikan Skydata Centre, Dr. Ainul Adzellie Hasnul berkata, keputusan itu mengelakkan budaya kepemimpinan bersifat autokrasi sekali gus mengurangkan isu pemimpin terpalit rasuah.
“Individu yang dipilih untuk mengisi ketiga-tiga jawatan itu melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin. Malah, saya juga merasakan perkara ini dapat memberi kesinambungan antara pemimpin lama dan baharu. Jadi, lebih ramai pemimpin muda dapat dilahirkan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika membentangkan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) 2016-2020: Keutamaan dan Penekanan Baharu berkata, tempoh perkhidmatan jawatan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri akan dihadkan kepada dua penggal sebagai langkah segera yang dilaksanakan bagi mereformasi sistem politik.

Dalam pada itu, berbeza dengan pandangan Ainul Adzellie, Pensyarah Kanan Bahagian Politik dan Polisi Awam Sekolah Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mazlan Ali pula meminta kerajaan supaya meneliti pelaksanaan itu dengan sebaiknya.
Hal ini kerana, katanya, jurang karisma besar yang dimiliki pemimpin negara ketika ini membuatkan setiap parti mungkin tidak dapat mencari pengganti yang benar-benar sesuai menggalas jawatan tertinggi pentadbiran negeri dan Pusat itu.
“Dalam situasi di negara maju seperti AS, sistem tersebut mungkin sesuai tetapi jika cuba dilakukan di negara membangun seperti Malaysia, mungkin impaknya tidak dirasai atau lebih teruk mewujudkan kekurangan tokoh pemimpin yang bagus.
“Sebagai contoh, sekiranya Perdana Menteri merupakan seorang bersikap dinamik dengan kepemimpinan progresif terpaksa meletakkan jawatan selepas hanya dua penggal, secara tidak langsung keputusan ini merugikan negara,” katanya.










