DUA isu penting berkaitan golongan petani dan peladang di negara kita kini adalah kejatuhan harga komoditi iaitu getah dan kelapa sawit. Pada masa ini, harga getah sekerap menjunam sehingga RM1.80 sekilogram. Sejak awal tahun lalu, pendapatan pekebun-pekebun kecil getah di Malaysia adalah antara RM450 hingga RM600 sebulan.
Kejatuhan harga buah kelapa sawit sekarang turut membawa masalah kepada peneroka dan pekebun-pekebun kecil di negara ini. Ramai yang merungut kerana kejatuhan ini memberi kesan langsung kepada keupayaan membeli dan menjalani kehidupan seharian. Pada masa ini, harga setan metrik buah kelapa sawit turun menjadi RM401 berbanding RM453, pada Ogos lepas.
Jelas bahawa pendapatan bulanan peneroka dan pekebun kecil semakin merosot. Ramai yang memperoleh sekadar RM900 hingga RM1,000 sebulan dan sudah tentu angka ini mengundang pelbagai masalah dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat dan serba-serbi hendak pakai duit.
Sementara itu, bagi harga minyak sawit mentah pula, harganya juga merudum menjadi RM2,039/tan berbanding RM3,268/tan pada Januari 2018. Pada Januari 2017, harganya RM3,268/tan dan sejak 2017 hingga kini, harga minyak sawit mentah tidak pernah meningkat sebaliknya turun sedikit demi sedikit sampai ke paras sekarang.
Ada pihak yang optimis menganggarkan harga minyak sawit akan meningkat pada pertengahan 2018 kerana bekalan pesaingnya iaitu minyak soya akan menurun. Andaian ini dikaitkan dengan keadaan cuaca kering di Argentina yang akan menyusutkan pengeluaran minyak soya.
Apa-apa pun, andaian ini tidak menjadi kenyataan kerana harga bagi minyak sawit mentah dan buah kelapa sawit terus menurun dari semasa ke semasa. Oleh hal demikian, peneroka dan pekebun kecil berharap kerajaan dapat mengambil beberapa langkah untuk memastikan kehidupan nasib mereka terbela dengan memberi pelbagai bantuan agar kehidupan mereka tidak terus tertekan.
Menurut mereka, kerajaan terdahulu mengecualikan beberapa jenis bayaran dan hutang apabila keadaan terdesak terutamanya tatkala kejatuhan harga minyak sawit dan harga buah kelapa sawit.
Tidak kira kerajaan terdahulu ataupun sekarang, golongan marhaen mesti diberi perhatian kerana golongan ini menghadapi pelbagai risiko dalam kerja seharian mereka. Mereka bukan hanya terdedah kepada harga komoditi yang tidak menentu, tetapi turut dipengaruhi oleh cuaca dan sebagainya.
Contohnya, bagi pengusaha kelapa sawit, mereka terpaksa berdepan dengan saingan komoditi lain yang turut menjejaskan permintaan dan harga komoditi tersebut. Bagi nelayan, selain cuaca dan musim tengkujuh, mereka diancam pencerobohan nelayan asing. Pesawah padi menghadapi risiko kemarau dan banjir serta serangan penyakit ketika padi hampir dituai.
Kita tentunya tidak boleh mengubah cuaca dan kesannya ke atas golongan marhaen ini tetapi usaha-usaha lain dalam mempertingkat hasil mereka boleh dilakukan dengan kajian dan penyelidikan dari semasa ke semasa. Selebihnya, insentif dalam pelbagai bentuk mesti diberikan kepada mereka sebagai menghargai jasa besar mereka terhadap negara.
Para peneroka dan pekebun-pekebun kecil kelapa sawit malah pengusaha-pengusaha pertanian lain sudah tentunya berharap agar dalam pembentangan Bajet 2019, mereka akan diberi sedikit kelegaan. Oleh itu, kerajaan sewajarnya mengambil kira masalah golongan ini kerana mereka juga penting dalam pembangunan negara.










