BEKASI (Indonesia) – Malaysia sekadar seri 2-2 berdepan Tajikistan pada Kejohanan Bawah 19 (B-19) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018, sekali gus menyukarkan peluang untuk layak ke suku akhir saingan berkenaan.
Sekalipun menang ke atas China dalam perlawanan terakhir peringkat Kumpulan D pada Jumaat ini, skuad kendalian Bojan Hodak itu perlu mengharapkan Tajikistan tewas kepada Arab Saudi.
Tajikistan kini mengumpul empat mata, manakala Malaysia hanya satu mata dan perbezaan jaringan akan menjadi penentu sekiranya Malaysia dapat mengatasi China dan Tajikistan tewas kepada Arab Saudi pada perlawanan terakhir kumpulan nanti.
Arab Saudi layak ke suku akhir selepas menewaskan China 1-0 pada perlawanan sebelum itu.
Pada perlawanan antara Malaysia dan Tajikistan di Stadium Patriot Chandrabhaga itu, dua kad merah dilayangkan melibatkan kedua-dua pemain yang terbabit dalam insiden kekasaran.
Pemain Malaysia Nabil Hakim Bokhari dilayangkan kad merah pada minit ke-83 kerana melakukan terjahan keras terhadap Zabirov Abdulmumin.
Pemain negara meraikan gol penyamaan ketika seri 2-2 menentang Tajikistan malam tadi. – Foto FAM
Dua minit kemudian, pemain Tajikistan, Nutmatov Khuseyn pulat dilayangkan kad merah kerana kesalahan terjahan terhadap Muhammad Ramadhan Saifullah.
Pada aksi malam tadi, Malaysia mendahului menerusi jaringan Muhammad Hadi Fayyadh pada minit ke-10 sebelum Tajikistan menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Ehsoni Panshanbe pada minit ke 32.
Gol kedua Tajikistan dijaringkan Yodgorov Daler pada minit ke-45 sebelum Nabil Hakim Bokhari menyamakan kedudukan pada minit ke 54.
Dua pasukan teratas dalam Kumpulan D akan berdepan sama ada juara atau naib juara Kumpulan C yang terdiri dari Australia, Korea Selatan, Vietnam dan Jordan dalam aksi suku akhir di Stadium Patriot Chandrabhaga pada 29 Oktober. – Bernama
KEDUDUKAN KUMPULAN D
P M K S J B Mata
ARAB SAUDI 2 2 0 0 3 1 6
TAJIKISTAN 2 1 0 1 3 2 4
MALAYSIA 2 0 1 1 3 4 1
CHINA 2 0 2 0 0 2 0











