Serena Williams beralih ke WWE? - Utusan Malaysia

Serena Williams beralih ke WWE?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK 28 Okt. – Serena Williams sudah tidak punya apa lagi untuk dibuktikan dalam tenis kerana dia sudah memiliki semua empat gelaran Grand Slam, memenangi pingat emas Sukan Olimpik dan bergelar pemain No. 1 dunia.

Sedar akan populariti yang dimiliki Williams, usaha kini sedang dijalankan untuk memujuk bintang tenis Amerika Syarikat (AS) itu beralih kepada gelanggang baharu – World Wrestling Entertainment (WWE).

Ketua Eksekutif Jenama WWE, Stephanie McMahon mengakui, dia cuba meyakinkan legenda tenis berusia 37 tahun itu untuk bertukar gelanggang bagi membawa revolusi kepada sukan gusti hiburan tersebut.

Katanya, sambutan hebat yang diterima oleh bintang seni mempertahankan diri campuran (MMA), Ronda Rousey apabila beralih kepada WWE membuatkannya bersemangat untuk mencari lebih ramai muka baharu dari sukan berbeza.

“Serena! Saya mahu Serena. Dia sangat menakjubkan,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat WWE di New York.

Pada ketika prospek Williams bakal beralih gelanggang masih belum muktamad, McMahon, anak kepada pemilik WWE, Vince McMahon berkata, fokusnya ketika ini adalah melakukan revolusi dalam sukan gusti wanita.

Williams, ibu kepada seorang anak perempuan adalah pemilik 23 gelaran Grand Slam, sekali gus menjadikannya antara pemain tenis wanita paling berjaya dalam sejarah. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN